PGRS Sukau tetap utuh, tidak terkesan dengan tindakan Datuk Saddi tinggalkan parti

Kenyataan media Badrul Hisham bin Juhari, Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda PGRS Bahagian Sukau

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N.59 Sukau ingin menjelaskan bahawa kekuatan serta semangat perjuangan parti di bahagian ini tetap utuh dan tidak sedikit pun terjejas dengan tindakan Datuk Saddi bin Abdul Rahman bersama beberapa penyokong beliau yang memilih untuk meninggalkan PGRS/GRS hari ini.

Kami memandang keputusan tersebut sebagai langkah yang mengecewakan, terutama ketika seluruh jentera parti kini bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. Namun bagi kami, tindakan ini sebenarnya memperlihatkan wajah sebenar mereka sebelum gelanggang PRN17 bermula.

Selama ini mereka berselindung di bawah panji kerajaan GRS, menikmati jawatan serta gaji daripada pelantikan dalam GLC, termasuk memberi ruang kepada konco-konco sendiri untuk menduduki jawatan di peringkat daerah. Ironinya, setelah menikmati segala keistimewaan itu, kini mereka memilih untuk menentang kerajaan yang sama — tanpa alasan kukuh dan tanpa rasa tanggungjawab kepada rakyat.

Kami ucapkan terima kasih kerana keluar daripada parti. Tindakan itu sekurang-kurangnya membuktikan apa yang sudah lama rakyat lihat — sikap pengkhianat politik yang tidak pernah serik berpindah arah. Rekod tidak pernah menipu; terlalu banyak siri “lompat” yang telah dilakukan — daripada UMNO ke Warisan, kemudian Bebas, ke PGRS, dan kini kembali semula ke Warisan. Segala tindakan ini jelas menunjukkan perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi untuk kepentingan peribadi dan kuasa yang sudah hilang.

Namun begitu, Pemuda PGRS Sukau menegaskan bahawa langkah mereka tidak membawa sebarang kesan besar terhadap persiapan jentera kami menjelang PRN Sabah. Sepanjang tiga tahun menjawat jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Saddi dilihat kurang komited memperjuangkan parti di peringkat akar umbi dan lebih gemar bergerak solo, terutama dalam isu Pekan Baru Sukau. Rakyat kini semakin bijak menilai dan sudah muak dengan gaya politik berpusing arah.

Kami di Pergerakan Pemuda PGRS Sukau berdiri teguh di belakang YBhg. Dato Juhari Janan, Ketua Bahagian PGRS Sukau dan calon tunggal GRS bagi N.59 Sukau. Pemuda telah memperkukuh jentera di setiap peringkat dan bersiap siaga menghadapi siapa sahaja lawan dalam PRN17 nanti.

Kami yakin, dengan semangat kesetiaan dan perjuangan berteraskan rakyat, kawasan N.59 Sukau akan kekal menjadi kubu kuat GRS, menyumbang satu lagi kerusi penting bagi memastikan kerajaan GRS terus memimpin Sabah menuju kestabilan dan kemajuan.

Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa kesetiaan bukan diukur dengan kata-kata, tetapi dengan perjuangan yang tidak goyah biarpun diuji. Jangan biarkan perjuangan ini diracuni oleh mereka yang hanya hadir ketika berkuasa, tetapi menghilang bila kepentingan diri tidak lagi terpenuhi. Kita kekal bersama GRS kerana kita percaya — perjuangan ini bukan untuk individu, tetapi untuk masa depan rakyat Sukau dan negeri Sabah yang tercinta.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles