HO CHI MINH: Seramai 15 pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjayakan Program Kembara Keusahawanan III di Universiti Ton Duc Thang (TDTU), Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa UMS melaksanakan program bertaraf antarabangsa dengan cemerlang.
Program ini dirancang sepenuhnya oleh pelajar selama enam bulan, dengan objektif memperkukuh kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, dan komunikasi, di samping memupuk kreativiti serta kefahaman silang budaya dalam kalangan peserta.
Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas, Dr. Nurfazliana Abdullah, berkata program seperti ini mampu membuka peluang luas serta memberi nilai tambah kepada pelajar.
“Ruang kerjasama di antara TDTU dan UMS melalui program mobiliti ini memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pemikiran dan budaya berbeza, peluang berinteraksi dengan pelajar antarabangsa serta pasaran kerja global,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Nazirah Sawal berkata, kembara tersebut membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah kepada realiti dunia sebenar.
“Sepanjang enam bulan perancangan hingga ke pelaksanaan di Ho Chi Minh, kami belajar untuk mengurus program secara menyeluruh daripada komunikasi rasmi, pengurusan bajet, sehinggalah kepada koordinasi aktiviti di lapangan.
“Pengalaman ini mengajar kami erti berdikari dan kepimpinan sebenar. Setiap ahli pasukan memainkan peranan penting, dan semangat berpasukan inilah yang menjadikan misi kami berjaya.
“Kami juga berpeluang melihat sendiri budaya keusahawanan di Vietnam yang sangat progresif, dan ia memberi inspirasi kepada kami untuk membawa idea baharu ke UMS dan ke Malaysia,” tambahnya.
Kemuncak program ialah Bengkel Pertukaran Akademik antara UMS dan TDTU, dengan ketibaan delegasi UMS disambut oleh Dekan Fakulti Alam Sekitar dan Keselamatan Pekerja TDTU, Dr. Ho Ngo Anh Dao.
Dalam bengkel tersebut, Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim, menyampaikan syarahan bertajuk “International Student Mobility in the Faculty of Engineering, UMS”.
Pembentangan itu bertujuan mempromosi UMS sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti mobiliti berkredit di rantau Asia Tenggara.
Sepanjang kembara, pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke pasar tradisional, pertandingan fotografi, penerokaan produk pelancongan Vietnam serta aktiviti pertukaran budaya bersama pelajar TDTU.
Kembara Keusahawanan III merupakan kesinambungan daripada program terdahulu yang dilaksanakan di Hatyai, Thailand dan Batam, Indonesia.