KOTA KINABALU: Seramai 53 graduan terdiri daripada pelbagai lapisan umur antara 18 hingga 67 tahun hari ini diraikan dalam Majlis Konvokesyen Master Reiki Ke-5 Tahun 2025, yang berlangsung penuh meriah di Bilik Kinabalu, Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.
Majlis berprestij itu dianjurkan oleh Anggun Creative Management, sekali gus menobatkan para graduan sebagai pengamal terapi bertauliah dengan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Turut hadir sama, Pengurus Anggun Creative Management, Hajah Rohani Kassim bersama para penerima sijil.
Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Aziah Atoh, yang juga Timbalan Pengerusi Asian Supply Base Sdn Bhd.
Dalam ucapannya, Datuk Aziah menyampaikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya melahirkan lebih ramai pengamal terapi berkemahiran serta berkelayakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
“Rawatan Reiki merupakan salah satu bentuk terapi alternatif yang membantu kesejahteraan mental, emosi dan spiritual. Kehadiran para pengamal Reiki diharap menjadi agen penyebar aura positif yang mampu membantu lebih ramai masyarakat di luar sana.
Master Reiki bukan sahaja satu bentuk ilmu penyembuhan alternatif, malah ia adalah seni mengurus tenaga dalaman untuk membentuk kesejahteraan fizikal, mental, dan spiritual,” katanya.
Beliau menyeru agar para graduan menggunakan ilmu Reiki yang diperoleh untuk terus berbakti kepada masyarakat, selain menjadi agen keseimbangan dalam kehidupan seharian.
Aziah turut menegaskan bahawa majlis ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan pengamal terapi alternatif, malah memperlihatkan Reiki sebagai satu bidang yang semakin diyakini dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat.
