KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifafkan tindakan ahli perniagaan Albert Tei mencabar kuasa eksekutif negeri Sabah dalam soal imigresen sebagai tidak wajar dan melanggar semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain berhujah bahawa autonomi imigresen Sabah merupakan hak negeri yang mesti dipertahankan, bukan dicabar di mahkamah.
“Saya setuju pencuri duit rakyat tidak boleh dilepaskan tanpa kira dia seorang menteri atau anak orang kenamaan (VIP).
“Undang-undang tetap undang-undang. Kuasa imigresen ini adalah prerogatif kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Menurutnya hak Sabah berkaitan imigresen tidak wajar diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
Abdul Aziz berkata tiada keperluan bagi Albert mencabar hak Sabah itu kerana beliau memiliki surat dari mahkamah.
“Ada juga surat dari mahkamah, tunjuk sajalah alasan untuk masuk Sabah. Kenapa perlu cabar hak Sabah? katanya.
Sementara itu, Ahli perniagaan, Albert Tei telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor bagi menuntut penjelasan berhubung larangan ke atasnya untuk masuk ke negeri itu.
Ia selepas Tei – individu yang menjadi pemberi maklumat berhubung skandal perlombongan di Sabah – dihalang oleh pihak imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu baru-baru ini.
