KOTA KINABALU: Pembelajaran di universiti tidak seharusnya dilihat sekadar usaha untuk lulus peperiksaan, sebaliknya satu perjalanan penting untuk membina pemikiran kritis, kreatif dan matang.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, selain mengejar kecemerlangan akademik, universiti juga bermatlamat untuk membentuk pelajar holistik yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial.
“Mahasiswa juga perlu berdisiplin, berintegriti serta memikul amanah dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sesi 2025/2026 di Dewan Canselor, di sini pada Selasa.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa untuk memanfaatkan sepenuhnya semua peluang yang terhidang sepanjang melanjutkan pengajian di universiti itu.
“Gunakan masa anda di universiti bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi untuk membina peribadi dan sahsiah jati diri.
“Jauhi perkara negatif seperti sikap malas, buli dan salah guna kebebasan yang boleh merugikan diri sendiri serta mengecewakan harapan ibu bapa.
“Sertailah persatuan, sukan, kebudayaan dan kerja-kerja sukarela. Di situlah anda akan belajar tentang kepimpinan, persahabatan, kesabaran dan empati,” tambah Dr Kasim.
Naib Canselor UMS yang ketujuh itu turut mengingatkan para mahasiswa bahawa pensyarah hanya membuka pintu ilmu, manakala mereka perlu melangkah masuk dengan sikap proaktif, berani bertanya serta merebut peluang.
“Apabila tiba saat berdiri di pentas konvokesyen kelak, biarlah anda mampu berkata dengan bangga bahawa anda telah menunaikan janji kepada universiti, keluarga dan negara,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMS menerima kemasukan 5,123 pelajar baharu bagi sesi 2025/2026. Hadir sama, barisan pengurusan tertinggi UMS serta pegawai-pegawai kanan universiti.