LABUAN – Suasana pendaftaran pelajar baharu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini menjadi lebih istimewa apabila Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, menerima kehadiran sepasang pelajar kembar yang turut mendaftar sebagai mahasiswa baharu bagi sesi akademik 2025/2026.
Pasangan kembar dari Kudat, Sabah, iaitu Sharifah Sahirah Azlan dan Sharifah Sakirah Azlan, memilih dua bidang pengajian berbeza tetapi sama-sama melihat UMSKAL sebagai destinasi untuk memulakan perjalanan akademik mereka.
Sharifah Sahirah, adik dalam pasangan kembar ini, mengikuti program Teknologi Maklumat (Teknologi Multimedia). Katanya, bidang ini dipilih kerana mempunyai peluang pekerjaan yang luas dan relevan dengan perkembangan industri digital masa kini.
Manakala Sharifah Sakirah, kakaknya, memilih program Pemasaran Antarabangsa kerana yakin kursus ini menawarkan prospek kerjaya yang meluas dalam sektor perniagaan global.
Mengimbau perjalanan mereka ke Labuan, pasangan kembar ini berkongsi pengalaman bagaimana mereka sudah tinggal di Kota Kinabalu sejak dua tahun lalu.
Dari sana, mereka dihantar oleh sepupu ke Menumbok sebelum menaiki speedboat ke Labuan dan seterusnya menggunakan bas UMS untuk sampai ke kampus UMSKAL.
Prof. Datuk Dr. Kasim menzahirkan rasa gembira dan bangga dengan semangat pelajar baharu, khususnya pasangan kembar ini yang sanggup merantau demi mengejar ilmu.
“Kehadiran pelajar kembar ini melambangkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan di UMS.
“Walaupun mereka datang bersama sebagai pasangan kembar, setiap seorang mempunyai peluang untuk menyerlah dalam bidang masing-masing,” katanya.
Turut hadir meraikan detik istimewa itu ialah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Psikologi merangkap Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, Nur Iman Reedzal, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Azmi Jumat, dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, Dr. Rizal Zamani Idris, serta Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Ketua Pentadbiran Fakulti Komputeran, Molly Donna Awang Sham.
Sehingga jam 12.00 tengah hari pada hari kedua pendaftaran, jumlah pelajar yang telah mendaftar ialah:
331 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), 112 pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).
Angka ini dijangka terus meningkat menjelang tamat tempoh pendaftaran esok.
Kehadiran pelajar kembar ini menjadi simbolik kepada keunikan pengambilan pelajar UMS tahun ini, sekali gus mencerminkan kepelbagaian serta komitmen universiti dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.