TUARAN: Perpecahan undi di kalangan parti-parti blok pembangkang hanya akan menguntungkan parti pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Kiulu dalam pilihan raya negeri (PRN) ke-17, kata Naib Presiden KDM Gundohing Henry Saimpon.
Menurutnya walau sekuat mana pun blok pembangkang di DUN Kiulu, ia mungkin berdepan kesukaran menawan kerusi kubu kuat PBS yang menganggotai GRS itu, jika undi pembangkang berpecah.
Oleh itu, Henry yang juga Ketua Penyelaras KDM Kiulu mengajak pengundi Kiulu supaya bijak menyatukan sokongan dan memberi peluang kepada parti lokal KDM kali ini untuk berentap dengan GRS (PBS).
“KDM mengalu-alukan mana-mana parti pembangkang untuk bertanding menyuburkan amalan demokrasi di Kiulu.
“Namun pengundi Kiulu harus berhati-hati dan wajar mengelak perpecahan undi seperti yang berlaku dalam beberapa PRN sebelum ini, sekali gus menyumbang kemenangan mudah kepada penyandang (PBS).
“Situasi yang sama mungkin akan berlaku jika pengundi blok pembangkang tidak ‘misompuru’. Kata orang ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” , katanya.
Henry berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan jentera wanita KDM di Kg Tompinahaton, dekat sini pada Jumaat.
Turut hadir Naib-Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu Joluin Jairuh dan Saimon Yagul.
Oleh itu, beliau berharap rakyat Kiulu, khususnya pengundi blok pembangkang, agar tidak mensia-siakan undi mereka dan memastikan tidak berlaku perpecahan undi yang akhirnya merugikan sama-sama parti dalam blok pembangkang.
“Perpecahan undi blok pembangkang di Kiulu sebelum ini wajar diambil sebagai iktibar untuk bersatu dalam PRN akan datang. Dalam hal ini, KDM yang pertama kali bertanding di DUN Kiulu amat mengharapkan “understanding” pengundi berada di belakang KDM kali ini,” katanya.
Sementara itu, Henry meminta jentera pilihan raya KDM Kiulu supaya menperkemaskan perseduaan dan bekerja keras memenangkan calon di DUN Kiulu.
Difahamkan, selain KDM dan GRS, turut disebut-sebut akan meletakkan calon di DUN Kiulu ialah parti Warisan dan Parti Impian Sabah.
Terdapat juga desas desus yang meramalkan UPKO (PH( akan meletakkan calon menggunakan logo sendiri di Kiulu.
