Pertandingan inovasi kearifan lokal dan stemquest 2025 zon Kota Marudu meriahkan siri jelajah

KOTA KINABALU:  Sabah sekali lagi membuktikan keunikan dan kekayaan budayanya melalui penganjuran Pertandingan Inovasi Kearifan Lokal 2025, sebuah inisiatif berimpak tinggi anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (Sabah) [IDS], Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah Credit Corporation (SCC) dan Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) dengan sokongan Kementerian Pengajian Tinggi.

Program ini bertujuan mencungkil, mendokumentasikan serta memperkasakan pengetahuan tradisional masyarakat Sabah – merangkumi makanan tradisi, perubatan herba, seni dan muzik, adat resam, falsafah hidup serta amalan keselamatan kampung. 

Usaha ini sekaligus mengiktiraf kearifan lokal sebagai aset pembangunan komuniti, identiti negeri dan sumber ekonomi Baharu serta bakat anak-anak muda diperingkat sekolah. 

Menurut Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul (Ketua Pegawai Eksekutif IDS), pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk melestarikan warisan, malah membuka ruang untuk adaptasi moden yang mampu menjana nilai komersial dan pelancongan.

Selepas berlangsung di Keningau, Tawau dan Sandakan, kini giliran Zon Kota Marudu akan berlangsung 27 September 2025 menjadi lokasi seterusnya bagi pertandingan ini. IDS Sabah menekankan bahawa penyertaan masih dibuka kepada sekolah-sekolah, individu, kumpulan dan komuniti yang berminat untuk mempamerkan daya cipta serta kearifan tradisi mereka.

Selesai Kota Marudu, siri jelajah akan diteruskan ke Tuaran pada 4 Oktober 2025 dan 5 oktober 2025 sebagai zon terakhir sebelum pemenang dari setiap zon melangkah ke peringkat akhir negeri dan kebangsaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pertandingan ini turut diselaraskan dengan Jelajah Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) sebagai manifestasi penghargaan terhadap daya cipta rakyat tempatan dan kesinambungan usaha memperkasa ilmu tradisional di era moden.

IDS Sabah mengajak masyarakat khususnya di Kota Marudu dan kawasan sekitar untuk merebut peluang penyertaan, hadir menyaksikan pertandingan serta menyokong usaha bersama dalam memartabatkan kearifan lokal sebagai khazanah negeri dan sumber inspirasi pembangunan.

Untuk maklumat lanjut, sila berhubung melalui e-mel kepada Penyelaras Program, Puan Addellyne Christie di Addellyne.christie@ids.org.my atau telefon ke 088-450500 atau terus ke media sosial IDS SABAH.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles