KOTA KINABALU: Bekas pemain negeri, Henry Saimpon mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) supaya mewujudkan Liga Bola Sepak Sabah atau menghidupkan kembali Piala Borneo.
Beliau berkata, langkah itu bukan saja dapat memeriahkan lagi arena bola sepak di Sabah malah mampu mencungkil lebih ramai bakat-bakat tempatan.
Selain itu, katanya, ia memberi ‘peluang kedua’ kepada pemain-pemain Sabah FC yang disisihkan bagi meneruskan karier mereka dalam bola sepak.
“Seperti berlaku sebelum ini, ramai pemain kita termasuk yang telah mengharumkan nama Sabah apabila menjuarai Liga Perdana pada 2019 ‘terkapai-kapai’ kerana disisihkan selepas pasukan menjalani rombakan besar-besaran.
“Mereka terpaksa mengintai beraksi dengan pasukan lain tapi apa yang menyedihkan ada di kalangan pemain terhenti langkah mereka dalam saingan Liga Malaysia,” katanya.
Henry yang juga Naib Presiden KDM berkata demikian selepas menyempurnakan acara perasmian karnival bolasepak 11 sebelah kategori veteran itu di Padang Pekan Tamparuli pada Ahad.
Turut hadir Ketua Penyelaras KDM Pantai Dalit Gundohing Jaesman Gipin, Naib Ketua KDM Kiulu Gundohing Joluin Jairuh, Jasini Yukin dan Ketua PDM Pukak John Vest.
