Pastikan suara rakyat Borneo terus didengar – Priscella Peter

KOTA KINABALU: Hari Malaysia adalah masa untuk menilai semula perjalanan negara ini selain memastikan suara rakyat Borneo khususnya di Sabah terus didengar.

Pemangku Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter berkata, Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting dalam memperkukuh landskap politik serta ekonomi negara.

Justeru, katanya, tuntutan pembangunan seimbang serta pengiktirafan terhadap hak-hak rakyat di kedua-dua wilayah itu harus terus diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan.

“Hari Malaysia adalah masa untuk kita menilai semula perjalanan negara ini, memastikan suara rakyat Borneo terus didengar, dan memperjuangkan keadilan sosial serta kesejahteraan masyarakat. KDM akan terus konsisten membawa agenda ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Priscella turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak untuk terus memperkukuh semangat perpaduan serta menjaga keharmonian yang telah lama menjadi tunjang kepada kemakmuran negara.

Menurut beliau, Hari Malaysia bukan sekadar mengingatkan kita kepada detik bersejarah penyertaan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, tetapi juga menuntut agar setiap generasi menghargai nilai kebersamaan dalam kepelbagaian.

“Saya percaya bahawa perpaduan sejati hanya dapat dicapai apabila semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, diberi ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negara.

Semangat Malaysia Madani harus terus diperkasakan supaya tidak ada komuniti yang terpinggir,” katanya.

Akhir sekali, Priscella menyeru semua rakyat Malaysia untuk menjadikan Hari Malaysia sebagai simbol harapan, keberanian dan perpaduan.

“Kita berbeza budaya, bahasa dan latar belakang, tetapi kita tetap satu Malaysia. Marilah kita sama-sama memelihara warisan ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles