BINGKOR : Rakyat diingatkan agar sentiasa berwaspada pada persekitaran masing-masing di musim tengkujuh yang melanda sekarang ini.
Peringatan itu disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Bingkor, Datuk Robert Tawik yang juga turut menggesa agar penduduk yang menetap di pinggiran sungai-sungai mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa.
“Cuaca agak buruk ketika ini dan banyak kes-kes tanah runtuh, banjir kilat dan kenaikan air sungai di luar kebiasaan.
Jadi, adalah baiknya jika kita sentiasa mengamalkan sikap berwaspada selalu lebih-lebih lagi kepada warga yang menetap berdekatan dengan sungai atau lembah (kawasan rendah) yang senang dinaiki air,” jelasnya ketika dihubungi media di sini.
Robert yang juga merupakan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah itu memberikan jaminan bahawa pemantauan oleh KKRS dalam penuh kesiapsiagaan menghadapi situasi bencana khususnya yang melibatkan tanah runtuh di jalan-jalan utama.
“Pasukan Khas Kecemasan Pejabat Wakil Rakyat Bingkor dan UPPM Bingkor juga sentiasa dalam siap sedia untuk bertindak di kawasan.
Pemantauan dilakukan sekerap yang boleh dan pasukan ini juga bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya lagi.
Beliau juga turut menyatakan rasa simpati terhadap penduduk yang terjejas dalam bencana alam tersebut dan berharap agar mereka bersabar dalam menghadapi ujian ini.
