KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertekad untuk mempelopori inisiatif menaik taraf pekan Taginambur di Kadamaian sebagai daerah kecil sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bakal calon KDM DUN Kadamaian, Josely Taising, berkata pekan Taginambur mempunyai potensi besar untuk dicadangkan sebagai lokasi pusat pentadbiran bagi pejabat daerah kecil Kadamaian.
“Pekan Taginambur bukan sahaja strategik dari segi lokasi iaitu hanya 16 kilometer dari pekan Kota Belud, tetapi juga memenuhi beberapa kriteria penting seperti pertambahan populasi, perkembangan pesat sektor ekonomi – khususnya eko-pelancongan – dan peningkatan keperluan kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan awam.
“Jika daerah Tuaran boleh mempunyai dua daerah kecil iaitu Tamparuli (9 km dari Tuaran) dan Kiulu (20 km dari Tuaran), maka tiada sebab Kadamaian tidak boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf. Kadamaian wajar diberi pengiktirafan yang sama demi kemajuan masyarakatnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut Josely, usaha menjadikan Kadamaian sebagai daerah kecil akan memberi pelbagai manfaat kebajikan dan pembangunan kepada penduduk, antaranya:
- Peningkatan perkhidmatan kerajaan:
Memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan pentadbiran dan pengurusan rasmi tanpa perlu ke Kota Belud.
Mempercepatkan proses pengeluaran dokumen rasmi, urusan tanah, lesen perniagaan dan bantuan kebajikan.
- Pembangunan ekonomi setempat:
Menarik pelaburan baru khususnya dalam sektor eko-pelancongan, pertanian moden, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menjadikan Taginambur sebagai hab ekonomi baharu yang mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia.
- Infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih baik:
Meningkatkan keutamaan dalam peruntukan pembangunan jalan raya, bekalan elektrik, air bersih, serta capaian internet.
Membolehkan lebih banyak sekolah, klinik kesihatan dan fasiliti komuniti dibina atau ditambah baik.
- Peningkatan kesejahteraan sosial dan kebajikan:
Memberikan akses lebih cepat kepada bantuan kebajikan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial.
Memperkasakan komuniti luar bandar agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan negeri.
- Keselamatan dan pengurusan bencana:
Penubuhan daerah kecil akan memudahkan penyelarasan pasukan keselamatan dan pengurusan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Meningkatkan kesiapsiagaan kecemasan dengan adanya pusat pentadbiran dan logistik lebih dekat.
Josely menegaskan bahawa cadangan ini adalah sebahagian daripada agenda pembaharuan KDM untuk memastikan Kadamaian bukan sahaja dikenali sebagai kawasan eko-pelancongan yang indah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang progresif, sejahtera dan mampan.
“KDM komited membawa suara rakyat Kadamaian agar mendapat hak pembangunan yang adil. Dengan status daerah kecil, Kadamaian akan lebih terjamin dari segi kebajikan, ekonomi dan masa depan generasi mudanya,” jelas beliau.
