KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah Datuk Chin Su Phin wajar merenung nasib parti sendiri sebelum membuat penilaian terhadap kekuatan parti lain.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata UMNO tidak pernah mempersoalkan tahap kekuatan LDP meskipun semua maklum parti itu tidak mempunyai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Sabah atau di Dewan Rakyat.
“Saya rasa lebih baik kamu atur parti kamu (LDP) dan boleh bertanding dalam PRN akan datang daripada kamu bercakap soal parti lain,* katanya dalam satu kenyataan.
Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden LDP yang dilihat memperkecil-kecilkan sokongan rakyat terhadap UNNO di Sabah.
“Seperti juga parti lain, dalam menghadapi PRN, UMNO juga merancang strategi terbaik untuk mencapai kejayaan.
“Dalan hal ini, cuba dulu presiden LDP duduk di kedudukan kami dan diperhina seperti itu, sudah tentu rundingan tidak akan berjaya,” katanya.
Jeffery menegaskan bahawa UMNO/BN hanya menuntut kerusi yang dimenangi pada PRN lepas (ditawarkan lapan kerusi) dan bukan menuntut sembarangan.
“Jadi kena faham cara asas perundingan. Kami lebih pentingkan perubahan yang lebih baik darioada apa yang ada sekarang.
“Dan sudah tentu kami bukan suka-suka untuk bertanding, kami masuk bertanding kerana rakyat,” katanya.
