TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kiulu menggariskan beberapa inisiatif yang bakal diberi perhatian, sekali gus memberi impak kepada belia di DUN Kiulu supaya lebih produktif, berdaya saing serta sentiasa sejahtera dalam menjalani kehidupan mereka.
Ketua Penyelaras KDM Kiulu, Gundohing Henry Saimpon berkata ini termasuk menganjurkan Program Jelajah Genta Belia yang bertujuan melahirkan belia-belia yang lebih produktif dan berdaya saing dalam dunia keusahawanan, termasuk pemasaran media sosial.
Menurutnya inisiatif itu diyakini dapat membantu memperkasa pembangunan belia Kiulu.
Henry berkata program itu boleh dijayakan bersama rakan strategik seperti PERKESO, Jabatan Pertanian, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Kerjasama strategik ini membuka ruang kepada belia luar bandar, terutama di DUN Kiulu untuk menceburi dunia keusahawanan, termasuk produk tempatan.
“Bagi belia yang mencari pekerjaan, pihak PERKESO boleh membantu menyediakan majikan yang memerlukan pekerja, akan ditemuduga secara bersemuka di dalam progam ini.
“Ini adalah antara strategi yang bakal dilaksanakan oleh KDM Kiulu jika diberi mandat dalam PRN akan datang,” katanya.
Henry berkata demikian ketika mengulas Program Santai Bersama Belia-Belia Zon Lokos di Kampung Lokos pada Sabtu.
Turut hadir Naib Ketua Penyelaras KDM Kiulu – Saimon Yagul, Jasinin Yukin.
Sempena program santai tersebut, turut dianjurkan ialah pertandingan bolasepak 7 sebelah dan cabutan tiket bertuah.
Mengenai sukan, Henry berkata KDM Kiulu merancang untuk menganjurkan “Sukan Kiulu”, Liga bolasepak Tertutup Kiulu dan klinik bolasepak mengikut zon di peringkat bawa U12 tahun.
“Buat permulaan kita anjurkan tiga acara dahulu Sukan Kiulu iaitu bolasepak, badminton dan futsal,” katanya.
Henry berkata acara itu diharap bukan sahaja membantu mencungkil bakat-bakat baru dalam arena sukan untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi, tetapi juga mengeratkan hubungan muhibah di kalangan penduduk Kiulu.
