TAMPARULI: Timbalan presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Wetrom Bahanda menamakan dua lagi bakal calon KDM yang akan bertanding masing-masing di DUN Paginatan dan Kundasang dalam pilihan raya negeri (PFN) ke-17.
Beliau berkata mereka ialah bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Rusdin Riman dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank Datuk Jeffry Mohd Ali yang akan bertarung di DUN Kundasang.
DUN Paginatan kini diwakili Datuk Abidin Madingkir manakala DUN Kundasang diwakili Pemangku Presiden PBS Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Bagaimanapun, Wetrom berkata senarai rasmi calon KDM hanya dimuktamadkan selepas DUN Sabah dibubarkan.
“Pemilihan calon KDM bukan ditentukan oleh saya seorang, sebaliknya ia diputuskan bersama dengan ahli majlis tertinggi KDM.
“Kita bertanding bukan untuk kepentingan peribadi…kalau mau tanding untuk mau jadi kaya, ini parti bukan tempatnya. Kita mahu bertanding kerana mahu pastikan Sabah tidak ketinggalan (dalam arus perdana pembangunan) selepas PRN,” katanya.
Wetrom yang juga Pengarah Pilihan Raya KDM Sabah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Komuniti Tionghua di Dewan Bawing Lakang dekat sini pada malam Jumaat.
Turut hadir pada majlis itu ialah naib presiden dan ketua penyelaras KDM Tamparuli Gundohing Dr Gaim James Lunkapis, naib presiden Gundohing Henry Saimpon, Setiausaha Agung Willie Jude, anggota AMT dan ketua- ketua penyelaras DUN.
Beliau menegaskan bahawa parti KDM, yang akan bertandin secara solo dalan PRN, bukan memperjuangkan kepentingan kaum tertentu sahaja, sebaliknya parti tempatan itu berjuang untuk semua, tanpa mengira bangsa dan agama.
Sehubungan itu, Wetrom yang juga anggota Parlimen Kota Marudu mengajak kaum Tionghua di negeri ini supaya bersama-sama dalam KDM untuk mempertahankan hak-hak Sabah selaras dengan aspirasi MA63.