Josely Taising KDM tidak gentar berdepan presiden UPKO di Kadamaian dalam PRN

KOTA KINABALU: Biarpun baharu dalam arena politik, bekas Ketua Cawangan KWSP Kota Marudu Gundohing Josely Taising sedia memberi tentangan sengit kepada Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick di DUN Kadamaian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Anak jati Taginambur itu disebut-sebut bakal dipertaruhkan oleh pimpinan KDM untuk bertarung dengan penyandang Ewon yang dijangka mempertahankan kerusi Kadamaian untuk kali ketiga.

Josely dikatakan mendapat restu dan sokongan kuat ketua penyelaras KDM Kadamaian Tuan Zamal Intim melalui keputusan sebulat suara Mesyuarat Bahagian KDM N11 Kadamaian, serta Ketua Bahagian KDM Kota Belud, Datuk Almudin Kaida untuk bertanding di DUN itu, satu-satunya kerusi yang dimenangi UPKO dalam PRN yang lepas.

Josely berkata beliau bersedia menggalas dan memikul tanggungjawab serta amanah sekiranya diberi peluang bertanding di Kadamaian.

“Dalam konteks perkembangan politik Sabah, kebelakangan ini, jelas sekali kita lihat timbul kebangkitan, kesedaran dan keinginan (masyarakat) memperjuangkan ideologi politik baharu yang mahukan parti tempatan dominan dan ‘tidak terikat’ dengan parti Malaya.

“Sebab itu, saya menyahut cabaran ini dan menyertai KDM untuk bersama rakyat Kadamaian merealisasikan impian mereka,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Menurut Josely, potensi KDM untuk melakukan kejutan DUN Kadamaian amat besar.

 “Tiada yang mustahil dalam politik. Dalam sekelip mata, aliran sokongan rakyat akan berubah. Saya melihat keinginan membara rakyat Kadamaian, termasuk pengundi muda untuk perubahan.

“Dan sambutan rakyat Kadamaian terhadap KDM juga menggalakkan, malah diperkatakan sebagai parti yang mampu memberi saingan kepada parti sedia ada,” katanya.

Josely berkata berdasarkan tinjauan di beberapa kampung di Kadamaian, antara isu yang sering dibangkitkan ialah kemudahan jalanraya ke beberapa kampung yang masih sangat mengecewakan.

Begitu juga kaedah penyampaian /tata kelola kemudahan kebajikan kepada warga emas dan golongan B40 yg tidak berapa telus dan agak tersasar.

“Rakyat turut bangkitkan kemudahan sukan dan rekreasi yang masih kurang khususnya di Kadamaian,” katanya.

Jika diberi mandat, Josely menzahirkan tekadnya untuk membantu rakyat Kadamaian mendapatkan kemudahan infrastrukur jalanraya yang lebih baik. 

“Keutamaan juga diberikan untuk menyediakan /membina kemudahan sukan seperti mini kompleks sukan untuk memastikan golongan muda yg berpotensi maju mempunyai tempat latihan yang selesa. Pembaharuan kaedah pemilihan Pengerusi JKKK akan dibuat melalui sistem undian spya suara (denyutan nadi) masyarakat kampung berkenaan dapat dihormati serta dihargai,” tambah beliau.

Josely berkata rakyat Kadamaian wajar menterjamahkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan sedia ada (yang dikawal oleh Malaya ), melalui peti undi dengan mengundi calon KDM. 

“Ini memastikan suara akar umbi rakyat Kadamaian berkumandang kuat di DUN,” katanya.

Josely memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia  (USM) dan Ijazah Sarjana Pengajian Kristian.

Ewon kini menjalankan dua tugasan wakil rakyat iaitu ADUN Kadamaian dan juga anggota Parlimen Penampang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles