KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata ini kerana BN Sabah mahu rakan yang ikhlas, jujur dan berpegang pada janji untuk membentuk gabungan.
Beliau berkata adalah amat sukar untuk BN menerima GRS kerana majoriti mereka adalah ahli yang ‘lompat’ ke parti lain dari parti BN atau UMNO.
Dalam hal ini, Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan turut menzahirkan sokongan kepada kenyataan Ketua UMNO Sabah yang tegas berhubung isu gabungan itu.
“Apa yang berlaku di negeri Sabah sekarang amat sukar untuk kami menerima GRS kerana ramai rakyat Sabah memberi respons ‘akan menolak’ kerajaan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai keputusan GRS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Jeffery berkata: “terpulang kepada PH untuk bergabung siapa yang mereka suka”.
“Kami di UMNO Sabah punya asas prinsip – pertama kami sudah umum kerjasama dengan PH bukan dengan mana-mana parti lain.
“Jadi jika PH Sabah memilih untuk bergabung dengan GRS itu terpulang kepada mereka, kami pula majoriti pimpinan menolak gabungan dengan GRS,” katanya.
Jeffery berkata suara rakyat yang mahukan perubahan juga tidak boleh dipandang ringan.
“Mana mungkin kami tidak bijak menilai respons rakyat Sabah, rakyat Sabah mahukan perubahan dari apa yang ada sekarang.
“Sudah tentu asas utama amat sukar kami menerima yang pernah bersama kami dan meninggalkan kami ketika dalam kesusahan…mana mungkin kami mahu ditipu berkali-kali dan dipatuk oleh ular yang sama,” katanya.
