RUU Koperasi baharu masuki fasa akhir, dijangka dibentangkan Disember ini: Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi yang baharu kini memasuki fasa akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember 2025.

Beliau berkata, sehingga kini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan 23 sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

“Antaranya agensi kerajaan, koperasi premier, federasi, ANGKASA, institusi pengajian tinggi serta wakil pentadbiran kerajaan negeri dari Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bil. 2 Tahun 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bacaan pertama RUU Koperasi disasarkan pada Disember 2025, manakala bacaan kedua dan ketiga dijangka pada Mac 2026.

“Akta baharu ini dijangka diwartakan pada Jun 2026 dan mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya Disember 2026,” katanya

Katanya lagi, RUU baharu itu bakal menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502], sejajar dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan koperasi negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa sektor koperasi turut diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), di bawah Prakarsa 9: Mencapai Keadilan Sosial dan Kesaksamaan Peluang, Memperkasa Sektor Ketiga.

“Peranan sektor ketiga termasuk koperasi akan terus diperkukuh untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tambah beliau, mesyuarat MPKK kali ini diadakan lebih awal bagi membolehkan gerakan koperasi mengemukakan input dan cadangan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada Oktober ini.

“Ia memberi ruang kepada gerakan koperasi menyuarakan keperluan serta cadangan peruntukan yang relevan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut memaklumkan kejayaan penganjuran Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) pada 25 hingga 27 Julai lalu.

“HKN’25 berjaya menarik kehadiran kira-kira 58,000 pengunjung, melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 orang. Ini jelas membuktikan gerakan koperasi kekal relevan dan mendapat sambutan positif dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurutnya lagi, jumlah jualan koperasi dan usahawan semasa HKN’25 mencecah hampir RM1.1 juta, manakala potensi jualan yang diraih dianggarkan bernilai RM22 juta.

“Ini menunjukkan impak ekonomi yang signifikan hasil penyertaan koperasi dan usahawan dalam program ini. Tahniah kepada KUSKOP dan SKM atas kejayaan menganjurkan HKN’25,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; barisan pengurusan tertinggi KUSKOP; ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP serta 36 anggota majlis terdiri daripada Exco kerajaan negeri, wakil gerakan koperasi, ahli akademik dan wakil industri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles