PITAS: Laungan slogan “Bengkoka Sejahtera” oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dilihat sebagai
penyuntik semangat kepada ahli parti itu untuk menawan kerusi DUN Bengkoka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua bahagian KDM Kudat Gundohing Richard Mazagi berkata parti tempatan itu sudah cukup bersedia untuk memberi saingan yang kuat pada bila bila masa PRN diadakan.
“Kita harap slogan “Bengkoka Sejahtera” yang memperincikan wawasan dan agenda pembangunan KDM menambat hati pengundi Bengkoka,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.
Richard yang Ketua Penyelaras KDM Bengkoka berkata wawasan KDM menerusi slogan itu merangkumi aspek peningkatan ekonomi rakyat, urustadbir yang saksama, memperkasakan belia, menyelesaikan isu tanah, memperhebatkan pembangunan infrastruktur, mewujudkan pusat kebudayaan, memberi bantuan kepada badan keagamaan dan pembinaan asrama desa.
Beliau turut menzahirkan kesediaan bertanding di DUN Bengkoka atas tiket KDM jika diberi peluang.
“Sebagai Ketua Bahagian yang bertanggungjawab memperkembangkan KDM sehingga ke tahap sekarang, pemilihan sebagai calon adalah hadiah kepada jerih payah yang telah dilakukan,” katanya.
Richard berkata antara isu-isu utama dan masalah yang selalu dibangkitkan oleh penduduk Bengkoka ialah urustadbir masyarakat tidak seimbang, perancangan ke arah peningkatan ekonomi rakyat yang tidak dirancang dengan baik dan tiada penyelesaian ke atas kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam kawasan tersebut.
Beliau berkata setakat ini, sambutan rakyat Bengkoka terhadap KDM amat menggalakkan.
“Ini dilihat dari ramainya orang yang hadir di setiap jelajah parti KDM di 10 buah PDM seluruh DUN Bengkoka.
Berdasarkan trend sokongan yang semakin meningkat, Richard optimis KDM mampu melakukan kejutan dalam PRN nanti.