Mohd Shafie janji mansuh pinjaman PTPTN anak Sabah

Oleh Mohd FMS

SEMPORNA: Parti WARISAN (WARISAN) berjanji memansuh dan menyelesaikan semua hutang pendidikan anak negeri yang sebelum ini memperoleh pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah.

Ini sekiranya rakyat Sabah memberi mandat baharu kepada parti itu untuk menerajui kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRN17) tidak lama lagi.

Sekiranya hasrat itu tercapai, peminjam-peminjam berstatus anak negeri tidak lagi terbeban dengan tekanan kewangan kerana WARISAN melaksana dasar pendidikan percuma kepada rakyat Sabah pada masa hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengulangi tawarannya untuk menstruktur semula Yayasan Sabah jika parti itu berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

“Saya akan pastikan semua hasil (kekayaan) kembali ke Yayasan Sabah dan saya akan beri biasiswa percuma jika yayasan ini mempunyai wang cukup untuk anak-anak Sabah yang miskin.

“Saya juga akan mansuhkan pinjaman pegawai-pegawai kerajaan sama ada yang sedang berkhidmat atau berpencen namun memiliki hutang dengan Yayasan Sabah. Begitu juga pelajar Yayasan Sabah yang sudah bergraduasi dan berkhidmat di mana-mana namun tidak mampu membayar ansuran kereta dan sewa rumah,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Beliau juga ADUN Senallang berkata demikian dalam ucapan perasmian program Semarak Kecemerlangan STPM Tahun 2024 dan Sumbangan Prihatin Smart-TV Sekolah Rendah Peringkat Daerah Semporna anjuran Parlimen Semporna di kediamannya di sini hari ini.

Turut hadir dalam program itu, ADUN Bugaya, Jamil Hamzah; ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong; ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; Focal Person Daerah Semporna, Hatta Lisani dan Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Rozita Anjuh.

Untuk rekod, pada Jun lalu, seramai 400,000 peminjam PTPTN tidak pernah membayar langsung hutang pinjaman itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, nilai tunggakan PTPTN yang tidak bayar kini mencecah RM5 bilion melibatkan peminjam yang sudah menamatkan pengajian 10 tahun lalu ke atas.

Bagaimana, tiada rekod rasmi jumlah pinjaman yang masih belum dibayar oleh anak negeri Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, syarat untuk merealisasikan impian tersebut hanyalah dengan menstruktur semula Yayasan Sabah.

Beliau secara sinis berkata, yayasan berkenaan mesti mempunyai wang yang banyak dan bukannya ‘orang lain’ (kerajaan negeri) yang kaya sehingga ‘membeli’ wakil-wakil rakyat.

“Yayasan mesti banyak duit, jangan orang lain banyak duit. Ada orang lain banyak duit, tetapi dia beli saya punya YB (Yang Berhormat) pula. Kali ini, kita simpan wang untuk yayasan bantu anak-anak Sabah supaya tidak membebankan mereka disebabkan hutang,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, portal berita melaporkan, Mohd Shafie bertekad menstrukturkan semula Yayasan Sabah jika berjaya mengambil alih tampuk pemerintahaan kerajaan negeri dalam PRN.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles