KDM sedia beri tentangan sengit di DUN Pintasan

KOTA BELUD: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berazam memberi tentangan sengit kepada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Pintasan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Biarpun berdepan dengan parti favorit GRS yang memenangi kerusi itu dalam PRN yang lepas, KDM yakin boleh melakukan kejutan.

Antara tokoh tempatan yang disebut-sebut sebagai calon KDM ialah Ketua Penyelaras KDM Pintasan, Gundohing Datuk Almudin Kaida.

Bagi kem GRS pula, selain penyandang Datuk Fairuz Renddan, turut disebut sebut ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan Warisan masih belum memberi bayangan calon yang bakal diketengahkan.

Menurut Almudin, berdasarkan sambutan rakyat di DUN Pintasan, KDM mempunyai peluang yang cerah untuk merampas kerusi itu daripada GRS.

“KDM sudah cukup bersedia dan positif untuk berdepan dengan parti pemerintah. Di DUN Pintasan, terdapat lebih 5,000 pengundi Tobilung (masyarakat rumpun KDM), dan kita harap mereka berpihak kepada kita.

“Tetapi KDM di sini menghormati kekuatan pihak lawan dan sedia bertarung untuk meraih sokongan rakyat yang majoritinya Iranun,” katanya sambil menambah tiada yang mustahil dalam arena politik.

Almudin, anak jati Iranun berkata jika diberi mandat, beliau berazam untuk memperhebatkan program pembangunan pelancongan di Pintasan yang terletak di pesisir pantai Kota Belud.

“Saya melihat masih banyak ruang untuk memajukan sektor pelancongan di Pintasan.

“Selain itu, saya bertekad untuk memberi keutamaan kepada usaha mempercepatkan proses pemberian geran tanah kepada penduduk kampung Pintasan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles