KOTA KINABALU: Menaik taraf jalan Kg Sinulihan-Dambai, Inanam menuju ke Jalan Pan Borneo menjadi antara fokus utama Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sekiranya diberi mandat dalam PRN yang akan datang.
Ketua Penyelaras KDM Inanam Datuk George Guntarik berkata penaiktarafan jalan itu penting bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, terutama di kawasan pekan Inanam.
“Walaupun ada usaha untuk menangani kesesakan jalan di sekitar pekan Inanam termasuk membina jalan pintas dari Taipan ke jalan Kionsom dekat Klinik Inanam, namun ia tidak memadai dalam jangka panjang.
“Sebab itu, KDM Inanam berpendapat sudah tiba masanya untuk menaiktaraf Jalan Sinulihan-Dambai sebagai jalan alternatif yang boleh tembus ke jalan Pan Borneo (dekat Kionsom),” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
George berkata antara kelebihan jalan Sinulihan-Dambai ialah pengguna jalan raya tidak perlu melalui kawasan pekan Inanam untuk menuju ke kawasan beberapa kampung dekat kg Dambai iaitu kg Kionsom, Pomotodon dan Kitobu.
“Dalam tempoh sedikit masa lagi apabila jalan Pan Borneo siap, jalan Dambai-Sinulihan bakal menjadi jalan alternatif yang penting bagi pengguna jalan raya yang akan menggunakan jalan Pan Borneo dari kawasan menggatal ke jalan utana Inanam-Kota Kinabalu.
“Pada ketika ini jalan Dambai-Sinulihan agak kecil dan sempit, dan ada bahagian tertentu yang sudah rosak, sebab itu jalan ini wajar dinaiktaraf demi keselesaan dan kebaikan semua pihak,” katanya.
Oleh itu, George berharap kerajaan negeri sedia ada dapat menyegerakan pelaksanaan projek penaiktarafan jalan Sinulihan-Dambai demi kebaikan semua pihak.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan masalah bekalan air yang kini semakin menjadi-jadi yang bukan sahja memberi kesan kehidupan harian penduduk DUN Inanam tetapi juga aktiviti perniagaan di pekan Menggatal dan Inanam.
