DUN Kemabong – Beri peluang muka baharu – KDM

TENOM: Rakyat Kemabong wajar menolak pemimpin yang terlalu lama berada dalam kelompok kuasa, kata Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Kemabong Gundohing Voo Ngok Sang.

Ketika membuat gesaan itu, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Roger berkata keberadaan mereka untuk terus berkuasa tidak lagi sesuai dengan tuntutan politik masa kini.

“Sudah sampai masanya representasi politik DUN Kemabong ini diubah dan pemimpin yang bergelut dengan krisis keyakinan wajar disinggirkan,” katanya.

Voo berkata demikian ketika berucap pada sesi mesyuarat dan taklimat ketua-ketua PDM,ketua-ketua cawangan dan ahli jawatankuasa jentera pilihan raya DUN Kemabong di Tenom valley, Chinta Mata Bukit Kemabong, dekat dini pada Rabu.

Pada majlis itu, Setiausaha Agung KDM Gundohing Willie Jude turut menyampaikan surat pelantikan Ketua Penyelaras KDM Kemabong kepada Voo.

Voo percaya ramai anak jati Kemabong, tidak kira bangsa dan agama, yang mampu membawa perubahan dan pembaharuan di kawasan itu.

“Rakyat kemabong mahu kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah kemudahan asas seperti masalah air, elektrik dan jalan-jalan pertanian,” katanya.

Menurut Voo, rata-rata rakyat Kemabong inginkan pemimpin yang berwibawa dan telus dalam mentadbir DUN itu dan memastikan kebajikan rakyat di situ sentiasa terjaga dan terbela.

“Kita berharap mereka akan membuat pilihan yang bijak dalam PRN akan datang demi kebaikan dan masa depan DUN Kemabong yang lebih cerah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkataan parti ‘KDM’ itu merujuk kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat untuk semua kaum dan bukan hanya terhad kepada kaum Kadazan Dusun Murut.

Voo turut mengulangi kesediaannya untuk bertanding atas tiket KDM jika diberi peluang.

Beliau meminta anggota dan jentera pilihan raya KDM DUN Kemabong supaya bersatu dan bersiap sedia bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

DUN Kemabong kini diwakili Datuk Rubin Balang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles