Penggunaan nama “Sabah” dalam parti bukan jaminan kejayaan untuk rakyat – Salleh

KOTA KINABALU:  Semua parti, sama ada tempatan atau nasional, didaftarkan di bawah undang-undang yang sama, kata bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, sambil menegaskan penggunaan 

 nama “Sabah” dalam parti tidak bermakna mereka benar-benar membawa manfaat untuk rakyat. 

Menurutnya parti politik hanyalah alat atau wadah untuk mencapai matlamat politik yang diinginkan.

“Yang penting ialah individu di sebaliknya. Jika seseorang pemimpin itu benar-benar anak jati Sabah dan ikhlas berkhidmat, itulah yang patut diberi kepercayaan — bukan kerana lambang partinya.

“Apa yang rakyat mahu ialah tindakan — jalan yang lebih baik, peluang kerja untuk belia, kos sara hidup yang munasabah, dan pembangunan yang nyata,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata 

perjuangan rakyat Sabah dalam isu MA63 juga sudah lama dilaung-laungkan.

“Ia mesti diterjemahkan kepada hasil sebenar — lebih kuasa autonomi, peruntukan yang adil, dan hak negeri yang dihormati. 

“Bukan soal siapa paling lantang, tapi siapa yang benar-benar capai sesuatu,” katanya.

Beliau berkata rakyat Sabah wajar menilai pemimpin berdasarkan komitmen mereka, bukan semata-mata parti. 

“Orang Sabah boleh memimpin di mana-mana, asalkan tidak lupa siapa yang mereka wakili.

“Sabahan No. 1 bermaksud mengutamakan rakyat Sabah dalam setiap keputusan — membela hak mereka, mengangkat suara mereka, dan membanggakan mereka melalui kerja sebenar, bukan slogan kosong.” katanya.

Salleh berkata masa depan Sabah terletak di tangan rakyatnya — siapa yang mereka pilih dan apa nilai yang diperjuangkan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles