TANJUNG ARU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tanjung Aru meneruskan program sumbangan bakul makanan di Tanjung Aru dan minggu ini kami terpanggil untuk menyumbang bakul makanan kepada isi keluarga di flat Pangsa kos rendah Tanjung Aru sebagai usaha berterusan membantu meringankan beban penduduk setempat.
Ahli Jawatankuasa PGRS Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng berkata, program ini adalah sebahagian daripada sumbangan mingguan yang konsisten bagi membantu komuniti di kawasan Tanjung Aru, terutamanya mereka yang memerlukan sokongan dalam menyediakan keperluan asas keluarga.
“Program sumbangan bakul makanan ini bukan sahaja untuk membantu dari segi keperluan harian, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan kami kepada penduduk di flat Pangsa Tanjung Aru. Kami memahami cabaran hidup di bandar, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas,” katanya.
Beliau menambah bahawa program-program yang membawa manfaat ini akan diteruskan secara konsisten dengan kerjasama sukarelawan PGRS Tanjung Aru.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban penduduk dan menjadi penghubung silaturahim antara PGRS Tanjung Aru dengan komuniti di kawasan kita ini,” ujar Dr Ritchie.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini termasuk sukarelawan belia yang membantu menyusun dan mengagihkan bakul makanan kepada semua penerima dengan tertib.
PGRS Tanjung Aru akan terus komited untuk membantu kebajikan penduduk setempat, selaras dengan prinsip kepimpinan negeri yang sentiasa mengutamakan rakyat Sabah.