Perkasakan NADI di Libaran untuk kesejahteraan rakyat luar bandar – Suhaimi

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Hj Nasir menggesa agar Kementerian Komunikasi mempercepat dan memperluas penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) khususnya di kawasan luar bandar dalam Parlimen Libaran.

Gesaan ini dibuat susulan jawapan rasmi oleh Menteri Komunikasi dalam Sidang Dewan Rakyat pada 21 Oktober 2024 berhubung cadangan penambahan NADI di kawasan Parlimen Libaran.

Menurut Suhaimi, setakat ini hanya empat buah Pusat NADI yang beroperasi di Libaran iaitu di PPR Gum-Gum, PPR Taman Murni, Kampung Sebait Padas dan Kampung Sungai Kayu. Namun keperluan terhadap pusat seperti ini semakin mendesak, terutamanya bagi penduduk luar bandar yang masih belum menikmati akses kemudahan digital dan maklumat kerajaan.

“Kampung seperti Dandulit dan Ulu Dusun masih belum mempunyai NADI. Penduduk di sana memerlukan akses kepada teknologi, peluang pembelajaran digital dan pendedahan kepada program-program kerajaan. Kementerian perlu mempertimbangkan penubuhan NADI baharu di kawasan seperti ini secara segera,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menyambut baik komitmen kementerian untuk meneliti cadangan penambahan NADI di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI, namun menegaskan bahawa pelaksanaan perlu dipercepatkan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan belia, wanita dan warga emas.

Suhaimi turut menekankan bahawa Pusat NADI perlu diperkasakan bukan sahaja sebagai pusat pembelajaran ICT, tetapi juga sebagai pusat penyebaran maklumat kerajaan, pembangunan keusahawanan, serta sebagai platform memperkasakan literasi digital dalam kalangan rakyat.

“NADI perlu menjadi hab maklumat dan transformasi masyarakat. Program yang dijalankan di NADI perlu disesuaikan dengan keperluan setempat dan diperluas kerjasama bersama agensi-agensi lain supaya benar-benar memberi impak kepada komuniti,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau dan menyokong usaha kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) demi memastikan rakyat Libaran tidak tertinggal dalam arus pendigitalan dan pembangunan negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles