Koridor Utiliti Sabah pacu transformasi infrastruktur utiliti Sabah – Dr Yusof

KOTA KINABALU: Pelancaran rasmi Koridor Utiliti Sabah (KUS) hari ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Kerajaan Negeri memperkasa pembangunan infrastruktur utiliti yang lebih tersusun, telus dan cekap.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr Yusof Yacob berkata, inisiatif KUS sebagai simbol permulaan fasa baharu dalam pembangunan strategik negeri.

Katanya, KUS bukan sekadar agensi pelaksana, sebaliknya ia mencerminkan visi besar Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan ekosistem utiliti dan infrastruktur melalui pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu.

“Sebagai syarikat pelaburan milik penuh Kerajaan Negeri, QSB diberi mandat menerajui penubuhan serta pelaksanaan KUS Sabah Berhad (KUSSB), selari dengan komitmen di bawah agenda pembangunan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, mewakili Ketua Menteri Sabah.

Hadir sama, Pengerusi KUS Datuk Dr Johnson Tee, Pengerusi Eksekutif KUSSB Amir Yazzed Abdul Hadi, Pengarah KUSSB Dato Lion Peh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB Datuk Ahmad Rizal Dahli dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Dr Jamili Nais.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, QSB melihat KUS sebagai pemangkin strategik bukan sahaja untuk mempercepat permohonan dan pelaksanaan utiliti, tetapi juga sebagai landasan kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan, berdaya saing dan bersifat jangka panjang.

Katanya, pelaburan strategik seperti KUS memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri melalui pendekatan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor utiliti, teknologi, infrastruktur dan digitalisasi.

“Platform digital KUS yang diperkenalkan juga dijangka mempercepatkan proses kelulusan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, sekali gus menggalakkan pembangunan yang lebih terancang,” katanya

Dalam masa yang sama, Dr Yusof berkata, QSB turut memberi jaminan bahawa kerja-kerja pemetaan utiliti akan dilaksanakan oleh juruukur bertauliah tempatan di Sabah, sebagai usaha memperkasakan bakat anak negeri dan memberi peluang kepada profesional tempatan menyumbang dalam industri berkenaan.

“Kami percaya usaha sama antara Kerajaan Negeri, agensi teknikal dan pemain industri akan memastikan pelaksanaan dasar pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara konsisten dan berkesan,” ujar beliau.

Beliau menyifatkan pelancaran KUS menjadi titik permulaan kepada pendekatan baharu Sabah dalam memperkukuh keupayaan utiliti demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan masa depan yang mampan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles