KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meluncurkan projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambatuon, di sini, bernilai RM42 juta.
Projek di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 RP3) itu akan menggantikan bangunan sekolah sedia ada yang uzur dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula bulan ini.
“Saya berharap projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan agar dapat dimanfaatkan oleh murid-murid dan penduduk kampung yang menaruh harapan besar terhadap kemudahan pendidikan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu, di tapak pembinaan sekolah itu, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek RMK-13, beliau bertanggungjawab memantau kelancaran pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Persekutuan di seluruh Sabah.
“Ini sebahagian daripada mandat kami agar semua projek dapat dipercepatkan pelaksanaannya demi kepentingan rakyat.
“Sebagai ADUN Kadamaian dan anggota kabinet Persekutuan, saya pastikan keperluan pembangunan berskala besar dapat dibawa ke kawasan ini dalam RMK-13 yang bermula tahun depan hingga 2030,” katanya.
Katanya lagi, Pelan Pembangunan Kadamaian yang dilancarkan pada tahun 2020 telah memperlihatkan banyak kemajuan dan akan terus diperkasa.
Ewon, turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud yang komited dalam menaik taraf sekolah-sekolah daif, khususnya di kawasan DUN Kadamaian.
“Sebahagian projek sudah siap, ada yang sedang berjalan dan banyak lagi akan dikemukakan dalam RMK-13. Saya juga ucap tahniah kepada JKR Sabah sebagai agensi pelaksana, serta Pejabat Pembangunan dan Pejabat Daerah Kota Belud yang turut menyumbang dalam pembangunan daerah ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Ishak Hj. Mohd Yusof berkata, antara kemudahan yang akan dibina di SK Tambatuon termasuk 10 bilik darjah, bilik RBT, makmal sains, kantin, surau, blok pentadbiran, ruang terbuka berbumbung dan padang.
Beliau turut memaklumkan bahawa sekolah-sekolah di DUN Kadamaian menerima banyak peruntukan antaranya projek yang telah siap seperti SK Sayap, SK Tarintidon, SK Nahaba, SK Gensurai, SK Tengkurus, SK Taginambur, SK Tuguson dan SK Lasau Tintapon.
“Projek yang sedang dalam pembinaan pula termasuk SK Kiau 1, SK Tamu Darat, SK Kaung, SK Kebayau, SK Mengkulat, SK Melangkap, SK Tambulian, SK Kelawat dan SK Tambatuon.
“Beberapa lagi projek telah diluluskan dan menunggu proses tender seperti Blok Pentadbiran SK Taginambur, SK Dalas, tambahan bilik darjah SMK Narinang serta prasekolah SK Tampasuk I, SK Piasau dan SK Kinasaraban,” katanya.
Menurutnya, SK Rangalau turut menerima peruntukan RM1 juta di bawah Projek Ubah Suai dan Naik Taraf (USNT) kendalian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.
Katanya lagi, PPD Kota Belud juga kini dalam usaha memohon pembinaan sekolah baharu termasuk SMK Narinang II, SMK Arshad II, SMK Pekan III dan SMK Pintasan susulan kelulusan permohonan tapak oleh Jabatan Tanah dan Ukur Kota Belud.