PENAMPANG : Seramai 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran Unduk Ngadau Peringkat Lima Kampung Divatto 𝟮𝟬𝟮𝟱, dekat sini, yang akan berlangsung di Jeti Togop Penampang pada 28 Jun ini.
Pengerusi Unduk Ngadau Susanna Mojiniu berkata semua peserta pertandingan akhir tersebut mewakili kampung Divan, Kg Totoikon, Kg Buzut, Kg Sava dan Kg Togop.
“Pihak penganjur berharap penduduk kampung sekitar Penampang, khususnya lima kampung Divatto terbabit dapat datang beramai-ramai bagi menyaksikan pesta Kaamatan Divatto,” katanya dalam satu kenyataan bagi mempromosi acara Kaamatan Divatto tahun ini.
Menurut Susanna, pertandingan Unduk Ngadau di peringkat kampung itu antara lain bertujuan memperingati pengorbanan Huminodun, seorang tokoh penting dalam budaya Kadazan-Dusun.
Katanya ia juga bermatlamat untuk mempromosikan serta memelihara warisan budaya, terutama dalam aspek kecantikan, kelembutan, dan kebijaksanaan wanita.
Selain itu, Susanna berkata ia juga diharap dapat menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung.
Beliau berkata pertandingan Unduk Ngadau itu turut menyelitkan kategori 𝗧𝗮𝘁𝗶 𝗞𝗮𝗮𝗻𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 (Miss Favourite FB) sempena pesta Kaamatan Kg Divatto.
Susanna berkata undian kategori 𝗧𝗮𝘁𝗶 𝗞𝗮𝗮𝗻𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 itu dibuat secara online bermula pada 22 Jun dan ditutup 28 Jun sekitar 3 petang.
Sementara itu, Susanna berharap lebih ramai individu dan agensi swasta yang tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan termasuk hamper bagi menjayakan acara Unduk Ngadau itu.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Susanna (019-581 7336) untuk keterangan lanjut.