KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai dianggap dilihat sebagai antara kerusi ‘panas’ dan mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 susulan kemunculan figura besar yang disebut-sebut untuk bertanding di kerusi di kawasan kubu kuat parti Warisan itu.
DUN Merotai mula menjadi perhatian kebelakangan ini apabila seorang Ketua Setiausaha Kementerian kerajaan Madani dikatakan termasuk dalam senarai ramalan sebagai antara calon yang bakal diketengahkan oleh PKR, anggota gabungqn Pakatan Harapan (PH), diviralkan di media sosial baru-baru ini.
Dalam senarai yang dikatakan oleh sesetengah penyokong PH sebagai “fake news” itu, anak jati Tawau iaitu Setiausaha Kementerian Perpaduan Datuk Ruji Ubi dikatakan bakal dipertaruhkan bagi menentang penyandang DUN Merotai Sarifuddin Hata mewakili parti Warisan.
Menurut beberapa pemerhati politik tempatan, jika ramalan yang diviralkan itu betul, mungkin ia merupakan antara strategi PKR atau PH mendapatkan sokongan dan kepercayaan selain dapat diterima baik rakyat, terutama di kawasan pantai timur Sabah.
“Pertembungan dua tokoh ini amat sengit dan menarik,” kata mereka.
Bagaimanapun, Ruji dalam catatan terbaharu di media sosial semalam tidak memberi sebarang indikasi dan ulasan mengenai kebarangkalian itu, dan hanya berkata:
“Untuk makluman, bermula hari ini (21 Jun 2025) saya telah bergelar pesara. Ambil bersara awal umur 55. Mau balik Tawau ‘berkebun’,” kata Ruji secara berseloroh.
Ruji yang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh rakan netizen sama ada beliau berkemungkinan menyertai arena politik selepas mengumumkan persaraan daripada perkhidmatan awam.
Sebelum dilantik ke jawatan terakhir itu, Ruji juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.
Dalam PRN 2020, Sarifuddin menang kerusi DUN Merotai dengan majoriti 1,587 undi.