Pesta Kaamatan Kg Lintuhun Tambunan kembali bercahaya atas tajaan Dato Dr Victor P. Paut

TAMBUNAN: Pesta Kaamatan Kampung Lintuhun, Tambunan disambut dengan penuh kemeriahan pada Sabtu, 24 Mei 2025 atas tajaan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dato Dr Victor P. Paut.

Dr Victor tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk kos keseluruhan program majlis perayaan pesta kaamatan Kampung Lintuhun.

Beliau juga menyumbang sebuah motorsikal berharga RM4,000 untuk hadiah utama cabutan nama bertuah, 30 Sampul kaamatan berisi RM50 (RM5,500) untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Malah di majlis itu, Dr Victor turut mengumumkan sumbangan RM1,500 untuk kos pemasangan talian elektrik rumah komuniti, RM3,500 untuk pembinaan dua tandas baharu awam dan tandas balairaya, RM10,000 untuk kos pembelian 10 buah Lampu 1000watt sportlight tenaga solar bertiang ketinggian melebihi 10 kaki.

Secara keseluruhan kos yang ditaja Dr Victor berjumlah RM30,000.

Dr Victor berkata, beliau tampil menghulurkan sumbangan berkenaan selepas dimaklumkan oleh pemimpin masyarakat kampung itu mengenai kekangan kewangan yang mereka hadapi untuk kos penganjuran pesta kaamatan kampung berkenaan.

“Selaku anak jati Kampung Lintuhun saya terpanggil untuk menghulurkan bantuan tajaan kewangan agar hasrat penduduk kampung untuk menyambut pesta kaamatan tahun ini dapat dipenuhi dan dinikmati dalam suasana kemeriahan,” katanya.

Dimajlis itu, Dr Victor turut menceritakan zaman kanak-kanaknya yang dihiasi banyak kenangan, antara yang diingatinya ialah mandi manda bersama rakan sebaya di Sungai Pagalan.

Pengerusi Penganjur majlis itu, Gundohing Wilfredoline Jakil mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Victor diatas keprihatinan menghulurkan sumbangan berkenaan.

“Sambutan Pesta Kaamatan Kg Lintuhun, Tambunan kembali bercahaya tahun ini selepas dua tahun tidak ada penganjuran disebabkan kekangan Kewangan.

Kita amat bersyukur mempunyai seorang anak jati kampung ini yang telah berjaya dalam dunia perniagaan kembali ke kampung halaman menghulurkan bantuan termasuk bantuan kewangan menaja program pesta kaamatan kampung ini yang telah dua tahun tertangguh,” katanya.

Kira-kira 1,000 penduduk menghadiri sambutan perayaan itu, termasuk Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sabah merangkap pengerusi KDCA Tambunan, Datuk Daniel Kinsik.

Turut hadir KAN Mukim Lintuhun, Gundohing Jouti @Joseph Ajun; Ketua Kampung Lintuhun, Petrus Pani dan Pengerusi JKKK Kg Lintuhun, Dvies Benjamin.

Terhadulu, semasa merasmikan majlis itu, Dr Victor berkata, pesta kaamataan merupakan perayaan warisan yang diwarisi masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) sejak dari nenek moyang sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan atas rezeki tuaian padi pada setiap tahun.

Katanya, dahulu, perayaan pesta kaamataan ini diraikan secara kecil-kecilan terutama sekali diperingkat keluarga, kemudian diperingkat kampung tetapi sekarang ini pesta kaamatan diraikan diperingkat mukim peringkat daerah dan seterusnya diperingkat Negeri.

“Yang amat membanggakan kita sebagai masyarakat KDM ialah pesta kaamatan pada hari ini bukan lagi sebagai satu perayaan semata-mata tetapi pesta Kaamatan ini merupakan salah satu produk pelancongan negara yang memainkan peranan membantu meningkatkan ekonomi negara melalui industri pelancongan kerana sepanjang pesta kaamatan ini diraikan dalam bulan Mei turut melibatkan kehadiran dan penyertaan pelancong luar negara.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat kampung itu untuk sama-sama menikmati perayaan pesta kaamatan ini dengan penuh toleransi, hormat menghormati di antara satu sama lain kerana pesta kaamatan ini bukan saja diraikan oleh Masyarakat KDM tetapi ianya melibatkan semua kaum dinegara ini.

“Pesta kaamatan adalah satu-satunya perayaan KDM yang memang sudah terkenal maka marilah kita sama-sama memelihara perayaan ini dan seterusnya berusaha untuk meningkatkan lagi martabat Pesta Kaamatan dimata Dunia,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles