Oleh: Dr Losius Goliong
KOTA KINABALU: Di sebalik kemeriahan Pesta Kaamatan yang diraikan saban tahun di Sabah, tersirat makna yang lebih mendalam. Bukan sekadar upacara syukur pascatuai, tetapi juga medan pertembungan nilai, identiti dan wacana kebangsaan.
Tema tahun ini, “Kaamatan untuk Semua”, dilihat sebagai langkah progresif ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang inklusif. Namun, sejauh manakah impak tema ini benar-benar meresap ke dalam struktur sosial Malaysia yang rencam?
Artikel ini mengupas secara umum tema tersebut dari lensa budaya, politik dan falsafah pembentukan bangsa secara kritikal.
Antara ritual dan realiti: Menyingkap makna Pesta Kaamatan
Pesta Kaamatan dalam asal usulnya ialah perayaan yang mengangkat naratif pengorbanan dan kesyukuran dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).
Lebih dari sekadar festival warisan, ia merupakan simbol kelangsungan budaya yang menyatukan komuniti dalam ruang-ruang sakral dan profan. Namun dalam lanskap Malaysia moden, Pesta Kaamatan kini menempuh transformasi fungsi dari upacara komuniti kepada platform perpaduan nasional.
Dalam ucapan pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah pada 1 Mei yang lalu, YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah menyatakan bahawa tema tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua” lebih daripada sekadar retorik. Ia merupakan isyarat simbolik bahawa perayaan etno-kultural tidak semestinya eksklusif, bahkan boleh dijadikan jambatan antara perbezaan.
Persoalannya, adakah perbezaan itu benar-benar dihayati atau sekadar dirai dalam bentuk sambutan bersifat kosmetik?
Wacana Perpaduan: Retorik vs Realiti
Gagasan perpaduan dalam konteks Pesta Kaamatan perlu dilihat melalui bingkai kritis. Sering kali, perayaan kebudayaan dijadikan sandaran bagi “politik simbol” untuk menunjukkan keterangkuman.
Namun, tanpa penyertaan yang autentik dan pelibatan merentas sempadan sosial, tema sebegini berisiko menjadi ahistorikal di mana terputus dari konteks sejarah ketidakseimbangan kuasa budaya dan politik yang telah lama membentuk naratif nasional.
Masih terdapat jurang persepsi apabila budaya dari komuniti periferi hanya diberi tumpuan semasa musim perayaan, tetapi kurang diberi perhatian dalam dasar pembangunan budaya negara sepanjang tahun. Hal ini memperlihatkan bentuk tokenisme budaya yang mencabar wacana kesaksamaan.
Walau pun terdapat kritikan terhadap eksploitasi simbolik perayaan budaya, Pesta Kaamatan masih berfungsi sebagai wacana perpaduan apabila ia dijadikan platform pertemuan rentas budaya secara terbuka.
Upacara seperti Magavau dan tarian Sumazau yang kini disertai oleh pelbagai etnik dan lapisan masyarakat, memberikan ruang interaksi yang jarang berlaku dalam kehidupan harian yang cenderung bersegregasi.
Tambahan pula, pelibatan aktif masyarakat bukan KDMR dalam pelbagai aktiviti Pesta Kaamatan memperlihatkan keupayaan perayaan ini untuk mencipta medan komunikasi lintas budaya secara semula jadi dan tidak dipaksa.
Maka, Pesta Kaamatan bukan sahaja mencerminkan identiti budaya KDMR, tetapi juga berpotensi menjadi simbol solidariti nasional yang merentas garis etnik, agama dan wilayah.
Kepelbagaian sebagai Teras Negara Bangsa
Dalam menghadapi tekanan globalisasi dan ketegangan identiti, Malaysia memerlukan naratif kebangsaan yang terbuka, adil dan plural. Tema “Kaamatan untuk Semua” boleh dilihat sebagai tapak awal kepada pembinaan semula naratif ini.
Namun, ia mesti disokong dengan dasar yang menyeluruh – dari pendidikan, pengkaryaan budaya, hingga peruntukan ekonomi serta budaya yang adil.
Penting juga untuk melihat bahawa penyatuan bukan bermakna pemaksaan homogeniti.
Sebaliknya, negara perlu membina kesepaduan melalui penerimaan identiti majmuk yang hidup dan dinamik. Pesta Kaamatan bukan hanya pesta tetapi ia adalah manifestasi falsafah kehidupan yang boleh mendidik rakyat tentang nilai pengorbanan, keterhubungan dengan alam dan pentingnya hidup bermasyarakat.
Sehubungan itu, tema ini membawa pendekatan segar yang menolak konsep perpaduan secara paksaan, sebaliknya meraikan perbezaan budaya sebagai asas kepada pembentukan negara bangsa.
Dalam suasana politik dan sosial yang sering digugat oleh wacana pemisahan identiti, tema “Kaamatan untuk Semua” menyediakan ruang simbolik dan praktikal bagi rakyat Malaysia untuk berinteraksi secara bermakna. Perayaan ini bukan sahaja memperkenalkan kekayaan budaya masyarakat KDMR kepada kaum lain, tetapi juga mengundang mereka untuk turut serta dalam semangat kebersamaan.
Sesungguhnya, inisiatif ini mempunyai nilai yang tinggi dalam memperkukuh semangat kebangsaan yang berpaksikan kepada pengiktirafan dan penghormatan terhadap kepelbagaian.
Dari Simbol ke Struktur
Perayaan budaya tidak boleh dilihat hanya sebagai simbol perpaduan yang bersifat sementara. Ia harus difahami sebagai struktur epistemik yang membentuk cara kita memahami antara satu sama lain. Pesta Kaamatan, apabila digarap secara kritikal dan inklusif, mampu menjadi medan pertemuan budaya yang membina, bukan memisah.
Dalam usaha membina Malaysia sebagai negara bangsa yang adil, kita tidak cukup sekadar meraikan perbezaan.
Kita harus menstrukturkan dasar dan naratif nasional berdasarkan prinsip keterangkuman budaya secara menyeluruh. Hanya dengan cara ini, tema “Kaamatan untuk Semua” boleh berubah dari slogan kepada realiti.