Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD: ” Apa masalahnya kilang simen dibina dalam hutan, tak kan kita bina dalam bandar pula, ” tegas Pengerusi Borneo Cemet Sabah (BCS) Sdn Bhd, Datuk Masiung.
” Bukan kah lebih baik zon perindustrian kilang simen terletak jauh di kawasan hutan … jika kita bina berdekatan bandar sudah tentu ia akan menimbulkan masalah sisa pepajal dan pencemaran udara yang kritikal.
” Selain batu kapur, bahan-bahan komponen dijadikan simen seperti tanah liat, pasir dan batu terdapat dalam zon perindustrian kilang berkenaan, ” katanya.
Masiung disoal media selepas merasmikan Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sogo-Sogo, berhubung isu yang dibangkitkan Wakil Rakyat Lamaq, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dalam Persidangan Dewan Negeri (DUN) Sabah pada 15 April lalu
Bung dalam nada sinis mempersoalkan pembinaan kilang simen itu dan menyifatkan ia tidak mungkin boleh beroperasi kerana didirikan di kawasan hutan tanpa bekalan elektrik, air dan akses jalanraya.
Ketua Perhubungan Umno Sabah itu juga mendakwa, pelabur utama kilang simen itu juga telah menarik diri sebaliknya wujud pembalakan di kawasan terbabit.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, berasa heran kenapa Bung tidak menyokong kewujudkan kilang simen berkenaan sedangkan ia memberi impak ekonomi yang luas kepada warga Tongod.
” Mungkin juga Bung mempunyi agenda lain kerana tindakan beliau itu telah menimbulkan kemarahan penduduk Tongod seolah-olah projek klinker yang dalam dalam proses pelaksanaan itu menemui kegagalan, ” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan beliau sepatutnya menyokong usaha murni itu kerana ia menawarkan lebih 1,000 pekerjaan kepada pendududuk tempatan selain peluang perniagaan kepada warga Tongod yang disenaraikan sebagai daerah termiskin di Malaysia.
Pengerusi BCS itu menasihatkan Bung supaya jangan mudah melatah hanya kerana mengutip cerita kedai kopi, sebaliknya beliau boleh melawat sendiri perkembangan kerja-kerja peringkat awal di kawasan perindusterian kilang simen berkenaan.
Masiung berkata, beliau tidak nampak wujud pembalakan di kawasan zon perindusterian kilang simen kerana hampir keseluruhan kawasan yang bakal dilombong hanya ditumbuhi batu kapur.
Menurutnya, pelabur utama Sinoma International Engineering Co. Ltd dari China dan BCS kini sedang giat menjalankan kerja-kerja awal membina jalanraya dari tapak kilang Kampung Kayawoi menuju jalan utama ke Kampung Matiku, Nabawan.
Sementara itu, kerja-kerja penyambungan elektrik dan air kini sedang dibina serentak selain mendirikan menara telekomunikasi optik untuk memudahkan perhubungan.
Projek kilang klinker dan simen bernilai RM1.2 bilion itu telah dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada April Tahun lalu.
Pada majlis itu, Masiung turut menerima seramai 112 ahli baharu diketuai bekas pesarah guru, Micheal Tamoi menyertai Gagasan Rakyat Kuamut.