IPG Kent berjaya laksana Bengkel Kesenian Tradisi Masyarakat Kadazan dan Dusun di KDCA

PENAMPANG: Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPG Kampus Kent Tuaran berjaya menganjurkan Bengkel Kesenian Tradisi Masyarakat Kadazan dan Dusun di Kadazan Culture Village, KDCA, dekat sini baru-baru ini,

Program dua hari bermula 14 April itu
merupakan inisiatif oleh Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPG Kampus Kent Tuaran menerusi kursus BKDB 1104 Kebudayaan Masyarakat Kadazan Dusun dan BKDB 1132 Asas Kesusasteraan Bahasa Kadazandusun.

Bengkel itu antara lain bertujuan
memberikan pendedahan secara langsung kepada siswa dan siswi guru mengenai konsep budaya dan masyarakat Kadazan Dusun.

Selain itu, bengkel itu bermatlamat untuk menyediakan pengalaman pembelajaran melalui penerangan daripada pakar tentang elemen-elemen budaya, mempelajari teknik asas kesenian seperti muzik, tarian dan kraftangan tradisi, memupuk minat dalam bidang kebudayaan sebagai asas keusahawanan, serta menghasilkan dan mempersembahkan karya kreatif berbentuk sastera.

Seramai 26 orang siswa dan siswi guru, terdiri daripada 13 perempuan dan 13 lelaki, telah menyertai program tersebut.

Semua peserta dari unit PPISMP BKD ambilan Ogos 2024/2029 itu turut diiringi oleh pensyarah, Dr. Rosie Johnny, Puan Rosmahwati Binti Ebbie, dan Puan Diannie Chrisie Beth-Lai.

Program berkenaan diselaras Dr. Rosie Johnny dan dipengerusikan oleh Melvin Everlee Kassim.

Pada hari pertama, para siswa dan siswi guru disambut dengan paluan gong di Ranau Culture House sekitar jam 9.30 pagi sebelum menyertai sesi latihan tarian Sumazau asli Penampang.

Seterusnya, mereka mengikuti sesi latihan alat muzik tradisional Kadazan Dusun sehingga tengah hari. Pada sebelah petang, mereka berpeluang menyertai bengkel tarian Magunatip dan muzik gong Murut sebelum kembali ke kampus sebagai persiapan untuk hari kedua.

Hari kedua diteruskan dengan pelbagai aktiviti di rumah tradisional Tambunan. Antara aktiviti menarik termasuklah bengkel memasak linompuka (tinapung), penyediaan ambuyat dan ikan kukus, serta bengkel membuat dan melipat sigar tradisional. Pada sebelah petang, siswa dan siswi guru diajar bagaimana untuk membuat gelang, rantai dan rantai kunci menggunakan manik di rumah tradisional kaum Murut.

Penilaian hasil kraftangan dijalankan sebelum majlis penutupan yang berlangsung sekitar jam 4.00 petang. Majlis tersebut disempurnakan dengan penyampaian sijil dan penghargaan kepada para AJK Kadazan Dusun Culture Village oleh Dr. Rosie Johnny selaku penyelaras program.

Encik Aelden Sin Wen Kiat sebagai Ketua Fasilitator merangkap wakil KDCA berharap agar setiap perkara yang telah dipelajari sepanjang dua hari berada di Kadazan Culture Village ini dapat memberikan nilai tambah dan pengalaman yang berguna kepada para siswa dan siswi guru. Beliau berharap, pengalaman ini dapat dimanfaatkan dalam usaha untuk meneruskan dan melestarikan tradisi budaya masyarakat Kadazan Dusun.

Secara kesimpulannya, bengkel itu bukan sekadar membuka pintu kepada dunia kebudayaan Kadazan Dusun, tetapi juga menyemai semangat cinta kepada warisan nenek moyang yang selama ini dipelihara dalam komuniti.
 
Melalui pengalaman ini, siswa dan siswi guru bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal dalam seni dan budaya, tetapi juga menyadari betapa pentingnya menjaga kelangsungan warisan budaya untuk generasi akan datang.

Pengalaman yang diperoleh di Kadazan Culture Village adalah satu langkah kecil, namun bermakna dalam perjalanan besar untuk melestarikan dan memperkaya warisan budaya kita yang amat bernilai.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles