TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Tuaran telah menganjurkan ceramah pendigitalan yang dikenal sebagai Bengkel Pendigitalan Peristilahan, Perkamusan dan Terjemahan Bahasa Kadazandusun (BKD), di sini baru-baru ini.
Bengkel sehari itu bertujuan memperkasakan penggunaan Bahasa Kadazandusun di kalangan orang ramai melalui pendekatan perkamusan dan terjemahan yang berasaskan teknologi digital.
Seramai 49 siswa guru daripada opsyen PISMP BKD September 2021-2026 dan PPISMP BKD Jun 2024-2029 serta 2 pensyarah Bahasa Kadazandusun menyertai program tersebut.
Antara fokus bengkel itu ialah menyumbangkan kosa kata dalam bahasa ibunda tersebut ke dalam aplikasi digital dengan menggunakan platform XAMPP dan ada juga siswa guru iaitu Bluster Jainon yang menghasilkan Kamus Digital BKD menggunakan platform Github sebagai host dan domain kamus.
Objektif utama pelaksanaan bengkel tersebut ialah meningkatkan pemahaman konsep umum peristilahan, perkamusan, dan terjemahan serta membimbing peserta dalam menghasilkan Kamus Digital Mini sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran.
Encik Frederick Assin (Full Stack Developer UMS) yang merupakan penceramah jemputan daripada UMS berkata pengintegrasian teknologi ke dalam pembelajaran Bahasa Kadazandusun adalah satu langkah yang baik bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
Beliau berkata selepas melihat karya kamus digital yang dihasilkan oleh siswa guru melalui aplikasi Canva dan Github ini, kamus digital ini boleh ditambahbaik dan diluaskan kepada platform yang lebih baik supaya dapat menjaga kualiti serta memperbanyakkan maklumat sahih Bahasa Kadazandusun melalui sumber atau enjin carian internet.
Pensyarah penyelaras program tersebut Puan Rosmahwati Binti Ebbie berkata bengkel tersebut merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk dijalankan kepada para siswa dan siswi guru di IPGM Kampus Kent yang mengambil BKD sebagai major mereka kerana ia mampu memberi pendedahan tentang bagaimana mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran bahasa ini.
Beliau juga percaya bahawa impak dari bengkel ini akan memberikan manfaat kepada generasi kaum Kadazan Dusun di masa akan datang sekali gus dapat memartabatkan bahasa ibunda ini agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.
Turut hadir bagi menjayakan program itu ialah Dr Rosie Johnny.