KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan dilantik, Datuk Amisah Yassin mencadangkan agar kerajaan negeri mengaktifkan semula Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) dengan penjadualan sidang tahunan yang tetap.
Beliau berkata hasil perbahasan ADBS harus dibentangkan secara rasmi dalam Dewan Undangan Negeri setiap tahun, sebagai satu laporan khas untuk diambil tindakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Beliau turut menyarankan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, sebuah badan sekretariat tetap yang terdiri daripada wakil kerajaan, wakil ADBS, wakil persatuan belia dan akademik, yang akan bertanggungjawab untuk memantau, melaksanakan dan melaporkan perkembangan pelaksanaan idea-idea yang dicadangkan oleh ADBS.
Jelasnya bab ini juga boleh menjadi pusat kepada pembentukan dasar-dasar belia baharu Sabah dan melatih anak muda Sabah untuk menjadi pemimpin di peringkat serantau dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa membahas Ucapan Dasar Tuan Yan Terutama semasa katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini, pada Isnin.
Amisah juga mengesyorkan kerajaan negeri memperuntukkan dana khas bagi program-program latihan kepimpinan, pembangunan kemahiran, simulasi persidangan, penulisan dasar dan pendedahan antarabangsa bagi Ahli Dewan Belia Sabah.
“Langkah-langkah seperti ini, kita tidak hanya melahirkan pemimpin yang mampu bercakap, tetapi juga yang benar-benar berkualiti, mampu merancang, melaksana dan menilai dasar untuk kebaikan negeri dan bermanfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.
Dalam persidangan itu, Amisah turut menyelar tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengenakan tarif ke atas sejumlah negara-negara dunia awal bulan ini jelas menyebabkan ketidaktentuan ekonomi akibat berlaku tindak balas negara-negara atau apa yang dikatakan sebagai Perang Tarif.
“Negara Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada rakyat mengenai kesan yang mungkin boleh berlaku. Meskipun dikatakan impaknya adalah kecil, namun sewajarnya kepimpinan negeri dan negara melaksanakan pelan tindakan bagi mengelak kesan buruk kepada ekonomi tempatan.
“Tarif berkenaan sedikit sebanyak akan menyebabkan permintaan produk keluaran Malaysia menurun apabila harganya meningkat di AS. Keadaan ini boleh mencetus impak domino iaitu apabila permintaan menurun, pengeluaran menurun, pendapatan syarikat pasti juga menurun dan akhirnya menyebabkan pembuangan pekerja, penutupan operasi kilang dan akhirnya pengangguran meningkat” ujarnya.
Tambahnya kita tidak mahu krisis ekonomi yang pernah dilalui sebelum ini kembali berulang yang pastinya membawa begitu banyak kesan negatif kepada rakyat. Mungkin kerajaan sudah boleh memulakan langkah untuk mencari negara-negara selain AS sebagai rakan dagangan bagi pasaran produk-produk yang terjejas seperti barangan elektronik dan elektronik.
Selain itu, kita juga perlu memperkasakan lagi produk keluaran tempatan dan melaksanakan kempen pembelian barangan tempatan bagi memastikan produk yang ada mampu bertahan dengan pasaran dalam negara selain pasaran bagi negara-negara jiran jelasnya.
Beliau turut memperkatakan isu yang berlarutan sejak dahulu lagi ialah mengenai masalah sampah serta tapak pelupusan yang semakin membimbangkan. Berikutan proses perbandaran dan kemajuan, sampah dan sisa pepejal semakin hari semakin bertambah.
Pada masa yang sama ruang di kawasan pelupusan sampah semakin hari semakin mengecil dan akan tiba suatu masa kelak terpaksa ditutup kerana sudah penuh. Langkah seterusnya ialah mencari kawasan tapak pelupusan baharu.
Senario ini sangat membimbangkan seperti dalam kes di Sungai Sibuga, Sandakan. Apabila sudah penuh, lubang yang gali akan ditutup dan dibuka lubang baharu. Masalah sampingan yang timbul ialah pergerakan air sampah dalam dan bawah tanah sekali gus mencemarkan air bersih yang mengalir ke kawasan lain sehingga mengundang wabak penyakit dan sebagainya.
Sehubungan itu, adalah wajar bagi pihak-pihak bertanggungjawab seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan agensi berkaitan mencari alternatif bagi memproses sisa pepejal sebagai langkah menangani isu sampah untuk jangka masa panjang.
Amisah menambah rekod terdapat 19 tapak pelupusan sampah di seluruh negeri yang memerlukan kos sehingga RM45 juta setahun. Kos ini pastinya akan bertambah dari tahun ke tahun apabila jumlah sampah semakin meningkat.
“Hari ini, sudah banyak teknologi hijau yang boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan bebanan kerajaan menguruskan sampah dan sisa pepejal.
“Saya memohon supaya kerajaan negeri mengambil serius terhadap isu yang berlaku termasuk menyediakan satu peruntukan khas sebagai pelaburan jangka panjang demi kebaikan dan kesejahteraan bersama”, katanya.