KOTA BELUD: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menghargai peranan Persatuan Media Tik Tokes Sabah terutama dalam membantu menangkis berita-berita sensasi dan spekulasi di media sosial.
Menurutnya walaupun baru diwujudkan namun persatuan itu banyak membantu memperjelas dan membetulkan maklumat yang tidak sahih atau tidak tepat yang kalau dibiarkan boleh meracuni pemikiran rakyat.
Dalam hal ini, Mustapha menzahirkan ucapan terima kasih kepada presiden Persatuan Media Tik Tokes Sabah Abdul Aziz Bilin yang mempelopori dan merintis jalan kepada penubuhan persatuan tersebut.
“Persatuan ini masih baru, namun keberkesanannya di luar jangkaan dan saya sangat bangga dengan kewujudan persatuan sebegini,” katanya.
Mustapha berkata demikian ketika berucap pada Majlis Terbuka Persatuan Kelab Media Tiktokers Negeri Sabah di R & R, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir Penasihat Persatuan Media Tik Tokes Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Sehubungan itu, Mustapha yang juga anggota Parlimen Sepanggar berharap persatuan itu terus berusha memantapkan peranannya ke peringkat tinggi, sekali gus mencipta kejayaan pada masa depan.
Sementara itu, Abdul Aziz menyambut baik sumbangan dana yang diberikan oleh Mustapha, sekaligus membantu memudahkan persatuan itu melaksanakan pelbagai program yang dirancang, termasuk seminar digital media dan forum perdana untuk tik tokes.
Pada majlis yang sama, Persatuan Media Tik Tokes Negeri Sabah turut menyampaikan beberapa anugerah, termasuk Anugerah Khas TikTokers Anugerah Penghargaan Khas dan Anugerah Khas Perintis kepada para ahli persatuan itu.
Persatuan Media Tik Tokes Negeri Sabah, antara lain, berperanan membantu memberi penjelasan dan menyebarluas berita yang sahih khususnya di peringkat akar umbi menerusi saluran media sosial.