George bangga dengan kejayaan atlet para Karamunting raih emas di India

SANDAKAN: Datuk George Hiew Vun Zin melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet para dari Sandakan, Mukhriz Ameer, yang mengharumkan nama negara selepas memenangi pingat emas acara 100 meter pada World Para Athletics Grand Prix yang berlangsung baru-baru ini di New Delhi, India.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting itu berkata kejayaan Mukhriz adalah bukti bahawa anak muda Sabah mampu bersinar di pentas antarabangsa jika diberi sokongan dan peluang sewajarnya.

Mukhriz, yang berasal dari Kampung Bokara, telah berkunjung ke pejabat George bersama ibunya bagi berkongsi kegembiraan atas pencapaiannya serta menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan yang diterima selama ini.

Menurut Mukhriz, bantuan kewangan dan dorongan moral yang diberikan oleh ADUN Karamunting itu sangat bermakna buat dirinya. Beliau berkata, tanpa tajaan tersebut, mustahil untuknya menampung kos perjalanan dan penyertaan ke India bersama kontinjen Malaysia.

Anak muda yang membesar di rumah atas air ini menyimpan impian menjadi atlet olahraga sejak kecil lagi. Walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran ketika menjalani latihan, beliau kekal cekal dan komited dalam mengejar cita-citanya.

“Saya tidak menyangka akan membawa pulang pingat emas, tetapi saya telah berikan segalanya di atas trek. Kemenangan ini saya hadiahkan buat keluarga, rakyat Sabah dan semua yang percaya kepada saya — terutama Datuk George yang sentiasa menyokong saya dari awal,” katanya.

George turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai dorongan kepada Mukhriz, dan berhasrat untuk terus menyokong pembangunan bakat sukan tempatan di Karamunting.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai anak muda berani mengejar impian mereka, dan berharap kerajaan serta masyarakat memberi lebih perhatian kepada atlet para supaya mereka mampu membawa nama negara ke peringkat tertinggi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles