TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent telah mengadakan Pertandingan Bercerita dan Berpuisi dalam Bahasa Kadazandusun (BKD) sempena Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa 2025 baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent, Tuaran itu merupakan salah satu inisiatif jabatan itu untuk memartabatkan bahasa ibunda etnik Kadazandusun.
Selain itu, ia bertujuan memperluaskan keunikan dan keindahan budaya bahasa Kadazandusun melalui skrip yang dicipta dan diceritakan serta dipuisikan dalam bahasa Kadazandusun.
Pertandingan itu mendapat sambutan yang baik daripada pelajar IPGM Kampus Kent, Tuaran yang mana bukan hanya siswa guru opsyen Bahasa Kadazandusun yang telah menyertai tetapi siswa guru daripada opsyen lain termasuk Teaching English For Second Language (TESL), Sains dan Matematik turut serta dalam pertandingan itu.
Para juri yang telah dilantik pula sangat berpengalaman, termasuk bekas pelajar opsyen Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent yang telah berkecimpung dalam pengajaran bahasa Kadazandusun.
Seramai 4 orang juri yang telah dilantik dalam mengadili kedua-dua kategori pertandingan tersebut.
Menurut penganjur, objektif utama pelaksanaan pertandingan itu ialah memantapkan penguasaan Bahasa Kadazandusun melalui penceritaan dan berpuisi.
Ini juga merupakan program yang baik di mana peserta terlibat dalam usaha untuk mempertahankan dan memelihara bahasa ibunda mereka sendiri.
Buktinya, pelbagai dialek yang telah digunakan dalam persembahan bercerita seperti dialek Dusun Kimaragang.
Melalui komen juri pula, mereka sangat bangga dengan kesemua peserta yang memberikan persembahan yang sangat baik terutama sekali bagi peserta yang bukan penutur jati Bahasa Kadazandusun.
Hal ini kerana bukan mudah bagi mempelajari ilmu yang berkaitan dengan bahasa ini terutama sekali mempersembahkan hiis atau puisi yang memiliki pelbagai irama untuk menyampaikan.
Mereka turut mengucapkan syabas dan tahniah bagi kesemua peserta bagi sokongan dan persembahan yang sangat memukau. Keputusan pertandingan, saudara Bluster Jainon yang merupakan pelajar PISMP BKD Amb Sept 2021/ Julai 2026 telah mendapat johan bagi pertandingan bercerita manakala pertandingan berpuisi telah dimenangi oleh kumpulan Lansanon daripada PISMP BKD Amb Sept 2021/ Julai 2026.
Encik John Bin Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun menyatakan bahawa program sebegini merupakan program yang relevan dan penting kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan komunikasi baik antara warga IPGM Kampus Kent.
Encik John Gitom juga berharap agar program seperti ini diteruskan kerana memberikan pengaruh yang sangat besar dan bermakna kepada kemajuan bahasa ibunda ke peringkat antarabangsa khususnya bagi bahasa Kadazandusun.