Kenyataan Media Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin
KOTA KINABALU: Saya ingin memberikan maklum balas terhadap kenyataan Datuk Shahelmey Yahya yang ingin menyemak status keahliannya dalam UMNO.
Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa penggantungan keahlian Datuk Shahelmey bukan disebabkan sokongannya kepada Datuk Hajiji Noor, tetapi kerana tindakan beliau yang mengkhianati perjuangan dan mandat parti.
UMNO sebagai sebuah parti yang berprinsip tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli atau pemimpin yang tidak setia kepada perjuangan parti.
Setiap ahli UMNO harus sedar bahawa keahlian dalam parti ini datang dengan tanggungjawab dan disiplin.
Setia kepada perjuangan UMNO ini bermakna harus mematuhi dasar dan keputusan parti.
Apabila seseorang mengkhianati mandat yang diberikan oleh parti, ia adalah satu pelanggaran serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Justeru, saya berpandangan bahawa Majlis Tertinggi UMNO perlu bertegas dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti.
Sekiranya ada pihak yang hanya mahu menyemak keahlian semata-mata kerana ingin bertanding dalam pilihan raya, maka UMNO harus bertegas bahawa parti ini tidak memerlukan pemimpin yang tidak setia.
UMNO Sabah jelas dalam pendiriannya – kami tidak akan memilih atau menyokong mana-mana pemimpin yang telah mengkhianati parti untuk bertanding di bawah panji UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan adalah asas utama dalam UMNO, dan mereka yang gagal mematuhinya tidak mempunyai tempat dalam parti ini pada pilihan raya nanti.