KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, selain melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan dalam pelbagai sektor perkhidmatan awam, kerajaan tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan golongan itu yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.
Menurutnya, pelbagai peluang dan program telah disediakan dan akan dilaksanakan untuk manfaat usahawan, bukan hanya golongan muda tetapi juga individu lain yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
Beliau mengambil contoh, Program Pembangunan Usahawan Belia (SYABAS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia dalam pelbagai perusahaan di seluruh negeri.
“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu Perusahaan Micro, Kecil dan Sederhana di Sabah, seperti program SME-Up, pemasaran dan promosi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kursus pembangunan usahawan tahun ini di seluruh Sabah”, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Menurutnya, setakat ini 8,031 usahawan PKS telah berdaftar dengan MIDE dan berharap lebih ramai akan mengambil bahagian untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi sendiri dan negeri Sabah.
Katanya, MIDE telah mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai pelbagai bidang perdagangan dan ekpo dunia di luar negara untuk memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa pada tahun ini.
Beliau berkata, Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda merupakan satu lagi inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk membantu usahawan wanita muda di negeri ini.
Hajiji berkata, sekitar 200 usahawan wanita muda di Sabah akan menerima manfaat daripada program itu yang dikenali sebagai Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG), yang turut menawarkan pakej pinjaman yang menarik.
Menurutnya, program ini bukan sekadar menyediakan modal, merangkumi sokongan menyeluruh melalui bimbingan dan latihan yang melibatkan sesi mentoring oleh pakar industri serta pendedahan kepada strategi pemasaran yang lebih efektif bagi memastikan kejayaan mereka dalam jangka masa panjang.
Katanya, realitinya usahawan wanita sering berhadapan dengan cabaran utama seperti kekangan modal, kekurangan akses kepada teknologi, pasaran, dan rangkaian sokongan yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.
“Cabaran ini bukan sahaja menghadkan peluang mereka untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti, malah turut menghalang potensi mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri”, katanya.
Hajiji berharap Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) akan menjadi pencetus semangat kepada usahawan wanita muda untuk terus berjaya dalam perniagaan masing-masing.