SANDAKAN: Pembinaan Hospital Rancangan Sungai Manila harus dipercepatkan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan penduduk di kawasan Sandakan, khususnya dalam Parlimen Libaran.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir bersetuju dengan isu yang telah diketengahkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan berhubung pembinaan hospital baharu di Sandakan dan tambahan hospital di Kota Kinabalu.
Suhaimi membangkitkankeperluan mendesak bagi pembinaan sebuah Hospital baru iaitu Hospital Rancangan Sungai Manila.
“Hospital Rancangan Sungai Manila ini telah mula dimohon dan telah dimasukkan dibawah RMK-10 sehingga RMK- 12 namun sehingga kini tahun 2025, ianya masih belum dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan, adakah Hospital tersebut telah dimasukkan kedalam senarai keutamaan di dalam RMK-13.
“Ataupun ianya tidak disenaraikan oleh Kerajaan GRS kepada Kementerian memandangkan cadangan pembinaan Hospital Rancangan Sungai Manila ini berada di kawasan pembangkang di peringkat kerajaan negeri Sabah,” tegasnya.
Suhaimi memaklumkan pembinaan Hospital Rancangan Sungai Manila adalah bertujuan bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Kawasan setempat yang mencecah lebih daripada 30 ribu orang.
“Hospital Rancangan Sungai Manila yang dipohon ini adalah lengkap dengan unit kecemasan, klinik pergigian, wad pesakit dan wad bersalin di dalam Parlimen Libaran.
“Hospital sedia ada iaitu Hospital Duchess of Kent tidak lagi mampu untuk menampung keperluan kesihatan penduduk Daerah Sandakan khasnya Parlimen Libaran,” katanya.
Suhaimi berharap agar Kerajaan mempercepatkan cadangan pembinaan Hospital ini bagi menampung keperluan kesihatan penduduk Daerah Sandakan khususnya untuk Penduduk di Parlimen Libaran.
Dalam masa sama, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah turut membangkitkan isu pelarasan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang mana selain pembangunan ekonomi, aspek kebajikan rakyat khususnya kanak-kanak tidak perlu diabaikan.
Beliau meminta kerajaan agar program RMT sedia ada memperluaskan bukan sahaja kepada keluarga miskin tegar tetapi kepada semua murid di Sabah tanpa mengira status kelayakan keluarga.
“Dengan adanya program makanan yang lebih menyeluruh, kita dapat memastikan murid-murid Sabah mendapat permulaan kehidupan yang lebih baik, seterusnya melahirkan generasi yang lebih sihat dan berdaya saing di masa depan.