Syarikat konsesi perlu letak papan tanda dan telus dalam penyelenggaraan jalan raya Sabah – Jordan

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda STARSabah Jordan Jude Ellron, menggesa syarikat konsesi jalan raya di seluruh Sabah untuk meningkatkan tahap penyelenggaraan jalan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terjamin, khususnya di kawasan bandar dan luar bandar.

Advertisements

Beliau yang juga Ketua Bahagian Nabawan menegaskan bahawa keadaan jalan raya di kebanyakan kawasan di Sabah, sama ada di bandar mahupun luar bandar, semakin membimbangkan akibat kurangnya penyelenggaraan berkala.

“Jalan yang berlubang, tidak rata, dan mengalami kerosakan berpanjangan bukan sahaja menyukarkan pengguna tetapi turut meningkatkan risiko kemalangan, terutamanya kepada penunggang motosikal dan kenderaan kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jordan, keadaan itu semakin buruk akibat perubahan cuaca yang tidak menentu, termasuk hujan lebat dan banjir yang sering melanda negeri ini. Air bertakung di atas jalan serta hakisan tanah telah menyebabkan banyak jalan berlubang dan permukaannya semakin rosak.

“Jika tidak diselenggara dengan segera, kerosakan ini boleh menjadi lebih serius dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kemalangan jalan raya sering berpunca daripada pemandu yang cuba mengelak atau melanggar lubang di tengah jalan.

Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan kenderaan tetapi juga mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya dan membawa kepada kehilangan nyawa, karanya,

“Insiden sebegini boleh dielakkan sekiranya penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual dan syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja dapat mengelakkan kematian, tetapi juga mengelak syarikat konsesi daripada berdepan dengan tindakan undang-undang akibat kecuaian mereka dalam penyelenggaraan jalan raya,” tegasnya.

“Kita sering menerima aduan mengenai jalan rosak di pelbagai kawasan di Sabah, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar. Malangnya, wakil-wakil rakyat sering dipersalahkan, sedangkan tanggungjawab utama menyelenggara jalan ini terletak di bawah tanggungjawab syarikat konsesi yang telah diamanahkan oleh kerajaan negeri. Mereka sepatutnya menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan dan bukannya membiarkan jalan dalam keadaan teruk,” katanya.

Justeru, beliau mendesak agar syarikat konsesi yang bertanggungjawab mematuhi jadual penyelenggaraan yang telah ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.

Menurutnya, kegagalan untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala hanya akan memburukkan keadaan dan nama kerajaan yang memerintah hari ini.

Selain itu, Jordan juga menggesa agar papan tanda maklumat kontraktor dipasang di lokasi strategik supaya orang ramai dapat mengetahui pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan di kawasan mereka.

“Ini bukan sahaja dapat meningkatkan ketelusan dalam pengurusan penyelenggaraan jalan tetapi juga membolehkan pengguna melaporkan sebarang kelewatan atau ketidaksempurnaan kerja penyelenggaraan secara terus kepada pihak berkaitan.

Beliau turut mencadangkan agar syarikat konsesi menyediakan talian WhatsApp khas bagi membolehkan pengguna jalan raya membuat aduan segera sekiranya berlaku kerosakan atau sebarang masalah berkaitan jalan. Dengan adanya saluran komunikasi yang lebih cekap, tindakan penyelenggaraan boleh dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan.

Jordan berkata isu jalan raya bukan perkara kecil, sebaliknya merupakan keperluan asas yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkaitan. Beliau berharap gesaan ini diambil tindakan segera demi memastikan pengguna jalan raya di Sabah, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, dapat menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa tanpa perlu bimbang terhadap risiko jalan rosak, terutamanya ketika musim hujan dan banjir yang semakin kerap berlaku.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles