SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Haji Nasir menjelaskan bahawa UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri.
“Kuasa autonomi ini memberikan kebebasan kepada UMNO Sabah untuk melakar dan menentukan hala tuju politik UMNO Sabah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan bagi merujuk kepada satu siaran oleh sebuah portal dalam talian yang mengelirukan, separuh masak dan ditokok tambah berkenaan autonomi UMNO Sabah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran tegaskan sehingga ke hari ini, UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah terutamanya dalam memilih rakan gabungan pada pilihanraya Sabah akan datang.
“UMNO Pusat melalui Majlis Kerja Tertinggi hanya menasihati UMNO Sabah berkenaan kerjasama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan demi kestabilan politik di Sabah kerana kedua-dua gabungan ini menjadi asas utama pembentukan Kerajaan Pusat.
“Kerana UMNO mengambil iktibar sejarah penggal yang lalu apabila tiga Perdana Menteri dan tiga Kerajaan bertukar-tukar dalam satu penggal yang merugikan rakyat dan negara,” katanya.
Suhaimi berkata nasihat tersebut juga adalah kerana UMNO merupakan sebuah parti nasional dan perlu untuk mencapai keseimbangan agar tidak mewujudkan konflik antara UMNO Sabah dan UMNO Pusat namun akhirnya keputusan dan punca kuasa terserah kepada UMNO Sabah.
“Autonomi ini bukan sekadar simbolik dan melambangkan komitmen tinggi UMNO dalam menghormati hak dan suara rakyat Sabah.
“Dan autonomi ini diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional unggul yang memahami, membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau berkata UMNO Sabah dan rakyat adalah bagai akar di tanah, pucuk ke awan.