LAHAD DATU: Syarikat konsesi yang terlibat dengan kerja penyelenggaraan jalan raya negeri, Globinaco Sdn.Bhd menghadapi masalah untuk membaiki Jalan Kilang, Lahad Datu yang rosak teruk berikutan bantahan pihak ketiga.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan berkata, jalan tersebut kini dalam keadaan yang amat penyedihkan dengan beberapa lubang besar di kiri dan kanan jalan tersebut sehingga menyukarkan kenderaan kecil melaluinya.
Jurucakapnya berkata, jalan negeri itu di bawah senggaraan Globinaco dan lokasi berkenaan telah disenaraikan untuk pembaikan pada tahun ini (2024) dan peruntukan juga telah diluluskan.
“Akan tetapi, kerja pembaikan tidak dapat dimulakan disebabkan terdapat bantahan dari pihak ketiga yang mendakwa status tanah di lokasi tersebut masih tanah persendirian dan bukannya rizab jalan.
“Perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Tanah & Ukur (JTU) dan jabatan ini sedang menunggu pengesahan dari pihak JTU sebelum kerja-kerja pembaikan tersebut dapat dimulakan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
JKR Sabah mengulas sebuah video yang tular di media sosial mengenai Jalan Kilang, Lahad Datu yang menimbulkan pelbagai reaksi oleh netizen.
Menurutnya, Jurutera Daerah Lahad Datu telah memaklumkan bahawa ada individu yang menghalang pihak Globinaco untuk melaksanakan kerja pembaikan jalan di lokasi tersebut.
“Individu tersebut mengakui Jalan Kilang termasuk dalam kawasan tanahnya. Pihak Globinaco beberapa kali ingin melaksanakan kerja pembaikan tetapi dihalang oleh individu tersebut”, katanya.