TAWAU : Kawasan Daerah Kinabatangan serta Segama Lahad Datu dikenal pasti berpotensi besar untuk diwujudkan Pembinaan dua Empangan baharu bagi mengatasi masalah bekalan air di Sabah.
Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini merupakan antara perancangan Warisan sekiranya mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, cadangan ini kemungkinan besar akan mengambil sedikit masa namun ia dijangka mampu memyelesaikan masalah bekalan air dalam tempoh jangka masa panjang.
“Kita sedar serta tahu Sungai Kinabatangan merupakan antara yang terpanjang di Sabah, manakala kajian sumber airnya dilihat sangat mencukupi untuk tujuan pembinaannya.
“Bukan hanya membina bekalan air yang mencukupi serta terawat, kawasan Empangan itu akan dilengkapi kemudahan Loji Rawatan Air (Water Treatment Plant) agar air ini selamat untuk digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (WARISAN) di sini pada Ahad.
Mohd Shafie berkata, projek empangan berkenaan turut menjana tenaga elektrik bagi menambah janaan tenaga untuk menampung keperluan yang kian meningkat di negeri ini.
“Ketika ini, kebanyakan kawasan di Sabah berdepan isu air, termasuk di ibu negeri berikutan kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air sedia ada, selain masalah air tidak berhasil yang tinggi.
“Oleh itu, kita yakin perancangan ini akan dilaksanakan kelak. Selain itu Warisan akan mewujudkan semula Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pelajaran di Sabah,” jelas Mohd Shafie.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan Warisan menghadapi PRN Sabah beliau berkata, pihaknya sudah bersiap sedia termasuk mengenal pasti calon bertanding dijangka akan bertanding mewakili Warisan.
“Kita perlu ada penapisan senarai calon ini secara mendalam berikutan setengah kawasan ada menyenaraikan sehingga 10 calon bertanding dalam PRN Sabah nanti.
“Sebahagian mereka (calon) ada mewakili bahagian serta individu luar bahagian…Apa yang penting bukan hanya calon itu menjadi keutamaan, tetapi kemenangan itu sangat penting sekali gus setia tidak melompat selepas menang,” kata Mohd Shafie.