Oleh Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri
ADUN (N.68) Apas
KOTA KINABALU: Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah atas pembentangan Belanjawan Sabah 2025 yang bertemakan Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera. Belanjawan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, malah turut memperlihatkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.
Dengan anggaran RM6.421 bilion, belanjawan ini berjaya menyelaraskan pengurusan kewangan berdisiplin dengan pelaksanaan program-program yang berimpak tinggi.
Belanjawan Sabah 2025 membuktikan kejayaan Kerajaan GRS PH Plus yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan negeri telah berjaya mencapai tahap kewangan yang stabil dan mampan, sambil melaksanakan pelbagai program untuk mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Sabah. Kejayaan ini bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan.
Ia merupakan pengiktirafan kepada kepimpinan berwawasan dan dedikasi tinggi yang diterjemahkan melalui dasar-dasar yang berpihak kepada rakyat Sabah.
Keberhasilan yang dicapai ini juga tidak dapat dipisahkan daripada kejayaan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang telah dirangka oleh kerajaan negeri.
Pelan ini telah terbukti berkesan dalam merancakkan pembangunan negeri Sabah dari pelbagai sudut, termasuk pendidikan, ekonomi, infrastruktur, dan kesejahteraan sosial. Melalui pelan ini, kerajaan negeri berjaya memfokuskan usaha untuk memperkukuh asas ekonomi negeri, memperbaiki akses kepada pendidikan dan kesihatan, serta meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk manfaat rakyat Sabah secara keseluruhan.
Dengan visi yang jelas dan matlamat yang terarah, Sabah semakin bergerak ke arah kemajuan yang lebih pesat dan inklusif.
Kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada sektor pendidikan melalui peruntukan RM127 juta untuk program biasiswa, dermasiswa, dan bantuan pelajar negeri, yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 pelajar termasuk pelajar baharu.
Selain itu, bantuan seperti SENTOSA, BUDI, SUBFLY, dan SUKSES membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan akses pendidikan yang inklusif dan menyeluruh, terutama bagi anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di dalam dan luar negeri.
Dalam aspek pemberdayaan wanita, peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) merupakan langkah signifikan dalam memperkasa wanita melalui program keusahawanan, kesedaran gender, serta geran kepada NGO wanita.
Langkah ini akan terus memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Saya juga memuji usaha kerajaan untuk mensejahterakan rakyat melalui program kebajikan seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat yang menyediakan bantuan bulanan RM300 selama setahun, dan pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ dengan peruntukan RM250 juta.
Bantuan tunai kepada peniaga kecil serta peruntukan khas bagi pembangunan luar bandar turut menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan semua golongan rakyat mendapat manfaat langsung.
Belanjawan ini juga menonjolkan pengurusan hasil negeri yang cekap, dengan unjuran pendapatan RM6.445 bilion yang sebahagian besarnya bakal disumbangkan oleh peningkatan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah. Keupayaan untuk mengekalkan hasil negeri pada paras RM6 bilion selama dua tahun berturut-turut adalah pencapaian yang membanggakan.
Sebagai wakil rakyat, saya yakin bahawa pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri melalui Belanjawan Sabah 2025 akan terus memperkukuh asas pembangunan negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat, dan menjadikan Sabah sebagai negeri yang lebih makmur dan progresif.
Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Sabah, khususnya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, atas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan dalam merancang dan melaksanakan pelan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.