KUSKOP bangunkan Dasar Penjaja dan Peniaga Kecil, akan diluncur sempena HPPK 2024

KUALA LUMPUR: Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) akan diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2024.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, dasar itu yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan teras strategik, strategi dan inisiatif-inisiatif dalam usaha untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan penjaja dan peniaga kecil yang holistik dan kondusif.

“Melalui D3PKN2030, kerajaan berhasrat untuk membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih inklusif dan mampan, yang akan membolehkan penjaja dan peniaga kecil menjadi lebih berdaya saing, inovatif, dan berdaya tahan.

“Dasar ini dibangunkan hasil daripada sesi libat urus, kajian dan perbincangan pelbagai pihak sejak tahun lepas” katanya ketika ditemui pemberita selepas wawancara secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1, di Angkasapuri RTM.

Mengenai Karnival HPPK, Ewon berkata, ia diadakan pada 1 hingga 3 November ini, di PICCA Convention Centre Butterworth Arena, Pulau Pinang.

“Penganjuran HPPK2024 adalah simbolik tanda penghargaan dan pengiktirafan daripada kerajaan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil atas sumbangan mereka terhadap ekonomi negara.

“Sambutan HPPPK diadakan sejak 2012 dan berharap sambutan HPPK2024 tahun ini dapat meneruskan legasi HPPK untuk menjadi pendorong kepada penjaja dan peniaga kecil agar lebih bersemangat dan komited menyumbang kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran HPPK secara umumnya telah memberi peluang kepada penjaja dan peniaga kecil untuk berniaga di platform peringkat kebangsaan.

Selain itu katanya, penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam HPPK juga memberi peluang membawa perkhidmatan yang ditawarkan di peringkat akar umbi.

Pelbagai acara diadakan selama tiga hari antaranya jualan pelbagai produk penjaja dan peniaga kecil, jualan murah koperasi dan usahawan, jualan usahawan produk halal, jualan produk Satu Daerah Satu industri dan Jualan Anekarasa MADANI dari negeri-negeri seluruh Malaysia.

Aktiviti untuk golongan belia juga disediakan seperti pameran interaktif Rakan Muda, pertandingan e-games iaitu Mobile Legenda, Karnival PERKESO Ready To Work.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles