Oleh Abd Jaafar Wahid
PUTATAN: Rakyat Malaysia khususnya anak muda perlu memahami erti kemerdekaan yang sebenar dengan menjadi rakyat bertanggungjawab, hormat menghormati dan memperkukuh perpaduan nasional.
Ketua Umno bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, sebahagian daripada masyarakat salah faham terhadap makna di sebalik terma kemerdekaan yang dilaungkan.
Tambahnya, mereka sengaja menyempitkan makna kemerdekaan dengan memberikan tafsiran yang menyimpang daripada hakikat sebenar kemerdekaan buat Malaysia.
“Mereka dengan dangkalnya telah memberikan tafsiran baru terhadap kemerdekaan dengan maksud bebas daripada segala jenis bentuk undang-undang, bersuara tanpa batasan dan bebas daripada segala prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara,” katanya ketika berucap merasmikan program Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 di kampung Meruntum pada malam Sabtu lepas.
Bagi mencapai kemerdekaan negara Jeffery berkata, UMNO adalah antara parti yang terlibat secara langsung dalam menunutut kemerdekaan negara dari tangan penjajah.
Menurut beliau hasil dari permaufakatan dan semangat perpaduan di kalangan pemimpin dan rakyat ketika itu hasrat untuk membebaskan negara dari belanggu penjajahan dapat dicapai dan dalam masa yang sama UMNO terus memainkan peranan untuk mengisi makna kemerdekaan bagi menjadikan negara terus aman makmur dan membangun sebagaimana yang dikecapi ketika ini.
“Perjuangan tersebut membolehkan rakyat mewarisi kemerdekaan yang membentuk sebuah negara berdaulat hasil dari perjuangan UMNO ,berdasarkan perlembagaan yang unik dan tersendiri “katanya
Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah berkata perjuangan yang dilakukan oleh UMNO dalam menunutut kemerdekaan perlu sentiasa diingati dan dihargai oleh rakyat Malaysia bagaimana proses mencapai kemerdekaan dan mempertahan kemerdekaan ini dengan pelbagai cara.
Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak perlulah mempunyai semangat kecintaan yang menebal ke atas negara.
“Hal ini mustahak kerana negara kita didiami oleh rakyat yang mempunyai perbezaan agama, bangsa dan ideologi politik yang berbeza ,” katanya .
Menurut Jeffery walaupun negara ini mempunyai perbezaan dari segi ideologi, kaum dan parti politik, namun sepatutnya ia tidak dijadikan sebagai suatu halangan kepada usaha untuk memakmurkan negara.
“ Kita sedih kerana ada di kalangan pemimpin politik termasuk di negeri ini menjadikan politik untuk meniupkan semangat perkauman, politik kebencian dengan meletakkan kefahaman politik atau parti politik sebagai lebih utama daripada negara,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap rakyat di negeri ini menolak golongan seperti ini dengan menjadikan politik sebagai batu loncatan dengan mengapi-apikan sentiment anti parti Malaysia demi untuk menjayakan agenda peribadi mereka
“Perbuatan golongan ini sudah tentu akan memberikan kesan kepada masyarakat berpecah belah kerana menumpukan kepada puak masing masing sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara yang memerlukan keharmonian dan perpaduan kaum terjalin erat sebagai eleman penting untuk menjana pembangunan negara,” katanya.