KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, masyarakat Hakka Penampang mempunyai sumbangan besar dalam kemajuan dan pembangunan ekonomi khususnya di Penampang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sumbangan masyarakat Hakka terutama dalam sektor ekonomi dan keusahawanan amat dihargai dan akan terus menyokong inisiatif-inisiatif anjuran Persatuan Hakka daerah itu.
“Bagi menyokong inisiatif-inisiatif kebudayaan dan kebajikan yang dianjurkan oleh persatuan ini, saya bersetuju menyalurkan sumbangan daripada peruntukan sebagai Ahli Parlimen Penampang sebanyak RM30,000.
“Saya berharap ini membentuk kerjasama erat bukan hanya saya selaku Ahli Parlimen dengan ahli persatuan selaku komuniti di Penampang tetapi sebagai sumbangan masyarakat Hakka kepada Penampang dan negara ini secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketia ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam upacara Angkat Sumpah sempena Ulang Tahun Ke-40 Persatuan Hakka Daerah Penampang, di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, rakyat di negara ini mempunyai hak, tanggungjawab dan peranan bersama membangun negara ini.
“Kita telah menubuhkan Malaysia melalui satu perjanjian Malaysia yang ditandatangani oleh para pemimpin mewakili semua etnik pada tahun 1963 iaitu Melayu, Cina dan India serta ketua-ketua masyarakat etnik di Sabah dan Sarawak serta wakil-wakil parti pada masa itu.
“Sebagai presiden parti saya mahu identiti Malaysia yang asal diteruskan iaitu identiti berteraskan kepada kemajmukan dan kepelbagaian kaum.
“Kita mahu semua kaum di negara ini bersatu hati, bekerjasama dan saling menjaga keharmonian supaya kita dapat membangunkan negara ini dengan lebih cemerlang,” katanya.